Belanjawan 2024: Kerajaan setuju teruskan projek LRT3 dengan kos RM4.7 bilion

LocalPolitics
13 Oct 2023 • 7:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2024: Kerajaan setuju teruskan projek LRT3 dengan kos RM4.7 bilion

zulfadli

13/10/2023 - 19:54

KUALA LUMPUR 13 Okt - Kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen Transit Aliran Ringan (LRT3) yang dibatalkan sebelum ini dengan kos sebanyak RM4.7 bilion.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lima stesen tersebut, termasuk stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Katanya, pengekalan stesen-stesen ini dijangka melengkapi dan menambah baik jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang yang bakal memanfaatkan 2 juta penduduk.

"Anggaran awal, LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai seperti yang dirancang Kerajaan Negeri berjumlah RM10 bilion menurut kaedah kerjasama awam-swasta (PPP)," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Anwar berkata, subsidi pengangkutan awam seperti bas, rel dan perkhidmatan udara akan terus disediakan untuk menjamin kesinambungan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, RM96 juta Dana Sokongan Bas Henti-henti disediakan bagi membantu menampung kos operasi harian pengendali bas hentihenti yang perlu meneruskan perkhidmatan di laluan kurang penumpang di kawasan desa.

"Selain itu, RM150 juta juga diperuntukkan bagi meneruskan Program Transformasi Bas Henti-henti termasuk meluaskan manfaatnya ke tiga lokasi baharu iaitu Kota Bharu, Kuantan dan Kota Setar.

image is not available

"Kerajaan akan terus mensubsidi pengangkutan udara sebanyak RM209 juta untuk manfaat penduduk desa dan pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.

Tambah beliau, kepada lebih 180,000 penduduk Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan bas dan rel Prasarana untuk ulang-alik mencari rezeki, manfaat pas bulanan My50 akan diteruskan. - DagangNews.com