
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memohon penambahan peruntukan dalam Belanjawan 2024 bagi memberi tumpuan kepada penyelenggaraan dan kerja berkala di lebuh raya serta jalan raya seluruh negara.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini penting bagi memastikan kualiti lebuh raya dan jalan raya di seluruh negara berada pada tahap terbaik serta memenuhi piawaian antarabangsa.
“KKR sudah mohon peruntukan yang lebih daripada apa yang kita peroleh pada tahun ini untuk penyelenggaraan dan kerja berkala di lebuh raya dan jalan raya, kalau daripada apa yang kita mohon mungkin tidak akan dapat 100 peratus tetapi sekurang-kurangnya peruntukan itu ditambah.
“Untuk tahun ini peruntukan yang kita dapat bagi penyelenggaraan dan kerja berkala adalah sebanyak RM1.5 bilion, tetapi sebenarnya keperluan kita jauh lebih daripada itu mungkin dalam tiga kali ganda jumlahnya untuk pastikan jalan kita pada tahap sepatutnya ikut piawaian antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelaksanaan Sistem Kutipan Tol secara rasmi di Plaza Tol Loke Yew Lebuhraya Sungai Besi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nanta berkata setakat ini terdapat banyak kerja tertunggak yang tidak dapat dilaksanakan kerana kekangan kewangan.
“Ini antara yang kita tegaskan dengan Kementerian Kewangan dalam persediaan Belanjawan 2024. Besar harapan kita supaya kita boleh melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan ini dalam usaha menyokong kempen MYjalan KKR.
“Isu penyelenggaraan ini berkait dengan isu keselamatan pengguna jalan raya, kita kalau boleh nak elak kemalangan yang boleh meragut nyawa apatah lagi jika ia berpunca daripada permukaan jalan yang rosak, berlubang atau sebagainya,” katanya.-Bernama
