Salah satu pindaan kepada undang-undang yang kami pasti dimahukan oleh ramai rakyat Malaysia ialah penambahan “Lemon Law” pada Akta Perlindungan Pengguna (1999).
Secara ringkasnya, penambahan Lemon Law ini memastikan bahawa pengguna dan pembeli mana-mana produk dari peranti pintar sehinggalah kereta akan berhak untuk menerima pampasan untuk produk yang dibeli sekiranya ia kekal rosak walaupun setelah diperbaiki beberapa kali, termasuklah pertukaran kepada sebuah produk yang baru.

Ini juga memastikan bahawa produk-produk yang dijual di Malaysia semuanya adalah berkualiti tinggi dan boleh diperbaiki oleh sesiapa dengan kelengkapan dan pengetahuan yang mencukupi, dan memastikan bahawa peranti atau kenderaan yang diperbaiki adalah cukup baik untuk digunakan tanpa masalah.
Sehingga kini, Akta Perlindungan Pengguna (1999) dilihat memastikan bahawa produk yang dijual adalah bertepatan dengan spesifikasi yang dinyatakan oleh syarikat yang menjual, disamping memastikan bahawa produk baru yang dibeli adalah bebas dari sebarang cacat-cela pada waktu ia dibeli.
Seperti yang dikatakan, Lemon Law adalah sesuatu yang memang sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Apabila pindaan ini rasmi kelak, kuasa akan lebih berpihak kepada pembeli yang membayar untuk peranti dan perkakasan mereka.

