
KALABAKAN: Pengumuman peruntukan besar bagi projek pembangunan infrastruktur di Sabah termasuk kawasan Kalabakan dalam Belanjawan 2026 membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan mahu mempercepatkan agenda pemodenan selain merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata perkara itu dapat dilihat melalui peruntukan pembinaan Jalan Kalabakan–Simanggaris sepanjang 28 kilometer.
Menurutnya projek itu merupakan antara komponen strategik dalam pembangunan sempadan Malaysia - Indonesia yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan pedalaman Sabah.
“Projek jalan baharu itu bukan sekadar membuka laluan perhubungan darat yang lebih cekap antara Kalabakan dan Simanggaris malah mewujudkan kesalinghubungan ekonomi rentas sempadan yang mampu menarik pelaburan langsung asing serta menggalakkan aktiviti perdagangan dua hala.
“Kalabakan memiliki kedudukan strategik sebagai pintu masuk wilayah timur Sabah ke Indonesia dan pembinaan jalan itu bakal memperkukuh jaringan logistik, mempercepatkan pergerakan barangan dan perkhidmatan serta menjadikan Kalabakan sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu di sempadan.
“Selain pembangunan infrastruktur jalan raya saya turut menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan berhubung kelangsungan bekalan elektrik Sabah melalui Projek Southern Link.
“Projek tersebut melibatkan peruntukan RM765 juta bagi membina talian penghantaran elektrik voltan tinggi yang dijangka akan meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan sistem bekalan tenaga di Sabah termasuk Kalabakan.
“Dengan pelaksanaan Southern Link kita akan dapat mengurangkan gangguan bekalan elektrik serta menyokong pembangunan kawasan perindustrian di wilayah timur Sabah,”katanya.



