Belanjawan 2026 gabungkan elemen utama RMK13 - Menteri Kewangan II

30/09/2025 - 14:31
KUALA LUMPUR 30 Sept - Belanjawan 2026 akan merangkumi elemen penting Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menggariskan keutamaan pembangunan negara, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, belanjawan itu yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober depan, merupakan yang pertama di bawah RMK13 dan akan diselaraskan dengan kerangka Ekonomi MADANI.
“Kita mesti melaksanakan reformasi untuk memperkukuh sektor perumahan, pendidikan dan kesihatan. Banyak agenda lain yang sedang kita usahakan dan bBelanjawan 2026 akan menggabungkan elemen-elemen ini bagi memacu pembangunan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang 4.4% pada separuh pertama 2025, manakala nilai perdagangan mencecah RM1.46 trilion dengan lebihan akaun semasa sebanyak RM17 bilion.
Menurutnya lagi, kadar inflasi menurun kepada 1.3% pada Ogos, berbanding 1.9% setahun lalu, manakala kadar pengangguran susut kepada 3%, mencerminkan keadaan pasaran buruh yang lebih kukuh.
“Pendapatan isi rumah juga meningkat, dengan purata pendapatan bulanan naik kepada RM9,155 pada 2024 berbanding RM7,901 pada 2019, sementara kadar kemiskinan mutlak menurun kepada 5.8% daripada 8.4% pada 2020,” katanya.
Amir Hamzah menegaskan, penjawat awam sebagai jentera utama kerajaan perlu memahami matlamat dan semangat di sebalik setiap keutamaan, strategi dan inisiatif yang digariskan dalam RMK13.
“Saya yakin kita boleh berjaya jika semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan, bukannya bekerja secara berasingan, khususnya dalam melaksanakan inisiatif yang merentasi kementerian,” katanya.
MEKA 2025 yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 700 peserta daripada sektor perkhidmatan awam, akademia, industri dan masyarakat sivil bagi membincangkan keutamaan serta strategi RMK13 melalui lima forum. - BERNAMA
featured standard
