Belanjawan 2026: Kerajaan peruntuk lebih RM200 juta tingkatkan perkhidmatan bas henti-henti

LocalPolitics
10 Oct 2025 • 6:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2026: Kerajaan peruntuk lebih RM200 juta tingkatkan perkhidmatan bas henti-henti

image is not available

10/10/2025 - 18:56

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Kerajaan memperuntukkan hampir RM200 juta bagi memperluaskan perkhidmatan bas henti-henti, termasuk laluan baharu serta tambahan bas di Johor Bahru sebagai persiapan kepada operasi Sistem Transit Rapid (RTS) yang bakal bermula tidak lama lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak, kerajaan terus menyalurkan subsidi RM209 juta bagi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) walaupun pengurusan RAS kini diserahkan kepada Kerajaan Sarawak.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan kemudahan pengangkutan udara kekal dinikmati masyarakat luar bandar dan kawasan pedalaman.

"Sementara itu, program Pas MyRailLife diteruskan secara percuma bagi pengguna OKU, murid sekolah dan bakal diperluas kepada kanak-kanak bawah enam tahun untuk perkhidmatan KTM Komuter dan Shuttle DMU," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan ketersambungan rel turut menjadi fokus utama dengan perkhidmatan tren elektrik (ETS) kini menyediakan perkhdimatan sehingga ke Stesen Kluang sejak Ogos lalu dengan sambungan ke Johor Bahru Sentral dijangka siap pada hujung tahun ini.

Katanya, LRT 3 yang menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang, dijangka beroperasi hujung 2025 dan mampu membawa 6,200 penumpang sejam setiap arah manakala projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 (Kota Bharu-Gombak) siap pada hujung 2026 yang akan memendekkan masa perjalanan Kelantan–Lembah Klang kepada hanya 4 jam.

Beliau berkata, projek naik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2, ia dijangka siap sepenuhnya pada 2029, menghubungkan Bandar Tasik Selatan–Seremban dan Simpang Pelabuhan Klang–Port Klang dengan kos RM4.1 bilion.

"LRT Laluan Kelana Jaya, sejumlah 26 tren baharu bakal beroperasi manakala LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang sedang dimulakan dan dijangka memberi manfaat kepada 1.8 juta penduduk serta 3.5 juta pelancong tahunan," katanya.

Perdana Menteri berkata, Prasarana Malaysia Berhad turut menggiatkan usaha memperluas perkhidmatan bas dan van awam yang moden serta mesra alam apabila 310 bas baharu akan diterima menjelang Februari 2026 bagi meningkatkan kekerapan perjalanan di kawasan tumpuan.

Selain itu, sejumlah 300 van di bawah Program Demand Responsive Transit (DRT) akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2025, memperkukuh perkhidmatan “first mile–last mile” untuk pengguna.

Dalam pada itu, kerajaan akan memperoleh 1,450 bas elektrik dan 300 van elektrik secara berfasa hingga 2030, sebagai langkah peralihan kepada pengangkutan hijau rendah karbon.- DagangNews.com

standard