Belanjawan 2026 KPN: “Perpaduan Teras Pembinaan Negara Bangsa”

LocalPolitics
11 Oct 2025 • 4:47 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Belanjawan 2026 KPN: “Perpaduan Teras Pembinaan Negara Bangsa”

PUTRAJAYA, 11 Oktober 2025 – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sentiasa komited dalam mendukung aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia sebagai asas pembangunan negara.

Perpaduan nasional menjadi teras kepada keyakinan pelabur, kestabilan politik dan kemajuan ekonomi. Apabila rakyat bersatu, pelaburan mengalir. ekonomi berkembang dan kesejahteraan rakyat meningkat. Oleh itu, menjayakan Ekonomi MADANI bermula dengan memperkukuh perpaduan kerana hanya dengan kekuatan bersama, kemakmuran dapat dikongsi oleh semua lapisan masyarakat.

Melalui Belanjawan 2026 yang bertemakan Belanjawan Rakyat ini, KPN telah diberi peruntukan sebanyak RM767,993,300 iaitu RM650,476,100 adalah Perbelanjaan Mengurus (OE) dan RM117,517,200 adalah Perbelanjaan Pembangunan (DE). Peruntukan ini meningkat sebanyak 7.96% berbanding tahun 2025.

image is not available

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara berkata, “Belanjawan ini selari dengan ketetapan hala tuju baharu KPN Tahun 2026 iaitu Pembinaan Negara Bangsa sebagai teras utama dalam memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian di Malaysia. Melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), KPN turut merangka 21 cadangan inisiatif Pembinaan Negara Bangsa yang sangat penting bagi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang agama, bangsa dan budaya.

Selain itu, beberapa inisiatif khas Belanjawan 2026 turut diumumkan kepada KPN iaitu:

i. Pelaksanaan program Perpaduan, Integrasi Nasional dan Keharmonian bagi memupuk semangat perpaduan serta jati diri (RM55 juta);

ii. Memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga sebagai penghubung jalin dalam komuniti (RM55 juta);

iii. Pembinaan tiga (3) pusat aktiviti perpaduan iaitu di Kompleks Perpaduan Bukit Besar, Kuala Terengganu, Pusat Aktiviti Perpaduan Bandar Seri Iskandar, Perak; Pusat Aktiviti Perpaduan Miri, Sarawak (RM46 juta);

iv. Penyediaan dana awal secara geran padanan bagi mengalakkan sektor korporat, dermawan dan pakar warisan untuk meremajakan Muzium Negara (RM5 juta);

v. Penambahbaikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak perpaduan di seluruh negara (RM20 juta);

vi. Pembukaan Muzium Tekstil di Menara Merdeka 188 sebagai usaha mengetengahkan tekstil dunia Melayu; dan

vii. Potongan cukai kepada individu dan syarikat korporat yang menyumbang secara tunai kepada Akaun Amanah Jabatan Muzium Malaysia.

Dengan hala tuju yang jelas ini, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menjadi peneraju dalam membina masyarakat Malaysia yang harmoni, inklusif, dan berpaksikan nilai sejagat yang mendukung semangat Malaysia MADANI.