Belanjawan 2026: Pelepasan cukai pendapatan RM3,000 ke atas bayaran premium insurans, takaful nyawa diperluas

LocalBusiness & Finance
10 Oct 2025 • 7:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2026: Pelepasan cukai pendapatan RM3,000 ke atas bayaran premium insurans, takaful nyawa diperluas

image is not available

10/10/2025 - 19:25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Kerajaan bercadang meluaskan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas bayaran premium insurans nyawa atau sumbangan takaful nyawa sebagai langkah menangani isu kenaikan inflasi perubatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelepasan cukai itu meliputi diri dan pasangan, diperluas bagi meliputi anak.

Katanya, langkah itu antara inisiatif baharu yang diperkenalkan kerajaan bagi menggalakkan caruman perlindungan insurans atau takaful dalam kalangan rakyat, selain memperkukuh keselamatan kesihatan sosial negara.

"Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas polisi insurans atau sijil takaful bernilai kecil yang dibeli oleh individu dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun sehingga 2028.

"Pengecualian duti setem bagi produk Perlindungan Tenang juga dilanjutkan sehingga tahun yang sama," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebanyak RM60 juta dana bersama antara kerajaan dan industri turut disediakan bagi memperkenalkan produk insurans asas mampu milik untuk semua serta melaksanakan Kumpulan Diagnosis Berkaitan (DRG).

Selain itu, hospital swasta dibenar menubuhkan Tabung Kebajikan Hospital yang diuruskan oleh syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) bagi membantu pesakit kurang mampu. Pendapatan yang diterima tabung tersebut diberi pengecualian cukai, manakala penyumbang turut layak mendapat potongan cukai.

Kerajaan juga membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan dalam Akaun Sejahtera untuk melanggan pelan asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT).

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif mySalam diteruskan untuk tahun 2026 bagi terus membantu rakyat berpendapatan rendah dengan subsidi perlindungan kemasukan ke hospital dan penyakit kritikal.

"Sejak MySalam diperkenalkan, skim perubatan itu telah membayar tuntutan bagi manfaat proses kemasukan ke hospital dan penyakit kritikal melebihi RM1.2 bilion yang mana memanfaatkan lebih 1.7 juta penerima di seluruh negara," katanya. - DagangNews.com

standard