
KUALA LUMPUR 5 Dis – Kerajaan negeri Pahang menyediakan peruntukan RM1 juta geran padanan kepada Yayasan Pahang untuk penubuhan Akademi Rel Pahang (ARP) di Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dengan kos keseluruhan sebanyak RM2 juta.
Peruntukan itu diumumkan melalui Belanjawan 2026 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata, inisiatif ini memberikan peluang kepada anak-anak Pahang memasuki industri rel dengan Latihan kemahiran terutamanya dalam menyediakan pasaran kerja apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangkakan beroperasi pada Januari 2027 nanti.
Penubuhan ARP itu bertujuan menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja boleh memenuhi permintaan domestik, malah akan memenuhi permintaan ekport tenaga mahir di luar negara.
ARP turut mendapat kerjasama dari Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) untuk memperkukuh kerjasama, kurikulum serta peluang kerjaya dalam dan luar negara.
Terdahulu, ketika membentangkan belanjawan itu, Wan Rosdy berkata, industri masa depan menuntut kemahiran teknikal yang tinggi khususnya dalam bidang TVET.
“Pada hari ini, ia bukan lagi dianggap sebagai pilihan kelas kedua, sebaliknya menjadi keutamaan pihak industri yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan lebih relevan selari dengan permintaan pasaran kerja moden.
“Bagi memastikan anak Pahang memiliki kemahiran TVET, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM3.5 juta kepada Pahang Skills untuk menyediakan infrastruktur, penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan latihan,” katanya. - DagangNews.com


