Belanjawan 2027: Gaji minimum naik kepada RM2,000 mulai Jun 2027, lebih 4 juta pekerja dapat manfaat

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 3:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Belanjawan 2027: Gaji minimum naik kepada RM2,000 mulai Jun 2027, lebih 4 juta pekerja dapat manfaat Image from: Belanjawan 2027: Gaji minimum naik kepada RM2,000 mulai Jun 2027, lebih 4 juta pekerja dapat manfaat amree09/10/2026 - 15:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt — Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, langkah yang dijangka melibatkan lebih empat juta pekerja di Malaysia, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, kenaikan itu bertujuan merapatkan jurang antara produktiviti dengan upah pekerja, selain menangani tekanan kos sara hidup yang berpunca daripada pertumbuhan pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan harga barangan.

 

Tambahnya yang juga Menteri Kewangan, pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih rendah pada kadar 33.9%.

 

Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bagi memberi ruang kepada majikan menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

 

"Selain itu, kerajaan akan memperkenalkan kerangka pendapatan pekerja baharu dengan menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan sebagai permulaan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Kerajaan turut menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan penanda aras gaji sara hidup kepada RM3,400 sebulan berbanding RM3,100 sebelum ini, yang dijangka memberi manfaat kepada 230,000 pekerja.

 

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru majikan sektor swasta supaya mengikuti langkah berkenaan bagi memastikan pekerja menerima upah yang lebih setimpal dengan kelayakan dan sumbangan mereka.

 

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan akan mengetatkan syarat tuntutan potongan cukai bagi perbelanjaan gaji oleh syarikat selain PMKS. Potongan cukai itu hanya dibenarkan sekiranya pembayaran gaji dibuat melalui akaun bank mengikut saluran yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955.

 

Langkah tersebut bertujuan menutup ruang kepada majikan menggaji pekerja asing tanpa izin, manakala potongan cukai bagi perbelanjaan lain tidak tertakluk kepada syarat berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved