
PETALING JAYA – Kerajaan Madani terus memberi perhatian kepada kebajikan semua lapisan rakyat menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil tanpa ada golongan yang tercicir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, selain menjaga kebajikan masyarakat Cina dan India.
Menurut beliau, Sabah dan Sarawak turut menerima peruntukan tertinggi, manakala sebanyak RM445 juta disediakan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat Orang Asli.
“Alhamdulillah, Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada setiap lapisan rakyat dengan matlamat mengangkat martabat dan memastikan setiap warga Malaysia dapat hidup dengan lebih bermaruah,” katanya.
Anwar berkata, kepelbagaian kaum, agama dan wilayah merupakan kekuatan negara yang perlu terus dipelihara bagi memastikan setiap rakyat berpeluang menikmati hasil kemakmuran.
Jelas beliau, kerajaan mahu memastikan tiada golongan yang tercicir, sebaliknya setiap rakyat mempunyai harapan untuk membina masa depan yang lebih baik.
“ Kita mahu setiap rakyat menikmati hasil kemakmuran secara adil, agar tiada yang tercicir dan setiap daripada kita punya harapan untuk memiliki masa depan yang lebih baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Belanjawan 2027 pastikan tiada rakyat tercicir – Anwar appeared first on Kosmo Online.






