Belanjawan 2027: Pengecualian duti hiburan di Wilayah Persekutuan

LocalEntertainment
9 Oct 2026 • 5:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Belanjawan 2027: Pengecualian duti hiburan di Wilayah Persekutuan

PETALING JAYA – Industri kreatif negara terus menerima perhatian apabila kerajaan memperuntukkan lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan.

Peruntukan itu merangkumi insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada penggiat industri untuk mengembangkan karya dan menembusi pasaran global.

Malah, insentif tambahan turut disediakan kepada karya yang mengetengahkan budaya serta identiti negara sebagai usaha mengangkat keunikan Malaysia menerusi kandungan kreatif yang berpotensi mendapat perhatian penonton antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut mengumumkan pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket tayangan filem dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.

Langkah itu dilihat sebagai antara usaha merancakkan industri hiburan tempatan, selain membuka ruang kepada lebih ramai penonton menikmati karya anak seni tempatan menerusi pawagam dan pentas teater.

Sementara itu, industri animasi tempatan turut diberi nafas baharu menerusi pembangunan 20 harta intelek (IP) baharu yang berpotensi memperkenalkan watak ciptaan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Pembangunan IP tempatan bukan sahaja berupaya memperluas peluang komersial kepada penerbit dan studio animasi, malah membuka ruang kepada penghasilan produk sampingan serta kerjasama strategik dengan pasaran luar negara.

Sebagai perbandingan, menerusi Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM140 juta bagi merangsang industri kreatif negara.

Daripada jumlah itu, RM110 juta disediakan untuk menyokong penerbitan filem berkualiti termasuk kandungan berunsur kenegaraan, RM10 juta bagi insentif penganjuran konsert artis tempatan dan antarabangsa, manakala RM20 juta diperuntukkan untuk memperkukuh ekosistem kreatif digital, khususnya sektor animasi dan pembangunan permainan digital tempatan. – KOSMO! ONLINE

The post Belanjawan 2027: Pengecualian duti hiburan di Wilayah Persekutuan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved