
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menekankan Belanjawan 2027 merupakan satu waad atau ikrar antara negara dan pimpinan dengan rakyat, yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan Madani Kelima yang dirangka oleh pasukan yang besar di bawah Kementerian Kewangan serta kementerian-kementerian lain, mengambil kira keperluan pelbagai lapisan masyarakat bermula daripada memacu pertumbuhan ekonomi hingga kepada menangani isu pekerjaan, gaji dan pendapatan minimum.
“Kita nak ajak semua rakyat dari pelbagai lapangan untuk mengingati bahawa belanjawan ini bukan soal mengatur kewangan, tetapi mesti satu kesepakatan yang terikat dengan satu waad.
“Maknanya, janji, ikrar atau sumpah di antara negara, pimpinan, dan rakyat. Jadi, kita dengar ratusan dan mungkin lebih pandangan pelbagai kelompok,” kata Perdana Menteri dalam Wawancara Khas Belanjawan Madani 2027 yang disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia, malam ini.
Anwar berkata, Kerajaan Madani pimpinannya sentiasa memikirkan semua peringkat dalam merangka Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, sekali gus mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri berkata, apa sahaja perancangan dilaksana kerajaan dalam Belanjawan 2027, akhirnya menjamin keselesaan hidup pelbagai lapisan rakyat pada masa hadapan, serta mengambil kira segala cabaran yang dihadapi rakyat.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 bukan sahaja menumpukan perhatian kepada perkara besar seperti memacu pertumbuhan ekonomi tinggi, tetapi juga sehingga kepada memelihara kucing, selain kebajikan pekerja gig dan pendapatan minima.
“Ekonomi boleh rancak tetapi rakyat mungkin terbeban. Jadi, inilah yang saya sebut satu falsafah, pendekatan yang melihat secara yang lebih menyeluruh dan itu sebenarnya belanjawan.
“Kita (ada) dengar masalah pekerja gig, e-hailing, p-hailing. Itu hal yang tidak berlaku 10 tahun yang lalu. (Itu) Perkara-perkara yang baru,” kata beliau.
Anwar turut menjelaskan Belanjawan 2027 merupakan hasil bagaimana negara itu diurus dengan baik dan amanahnya sentiasa dipegang oleh kepimpinan tertinggi.
“Ini (ialah) belanjawan (apabila) negara (kita) pegang amanah, jaga sebagai amanah, diambil sebagai satu waad. (Ini) janji yang mesti dilaksanakan dengan sesungguhnya,” kata Perdana Menteri.
Semalam, Anwar membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat yang memperuntukkan RM510 bilion, bagi mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyat pada semua peringkat.
Bertema ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama merangkumi komitmen untuk kehidupan rakyat lebih baik hingga ke agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.
Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat merangkumkan tekad itu sebagai ‘Waad Nasional’, iaitu janji bahawa kemajuan negara, akhirnya diterjemahkan kepada kehidupan lebih bermaruah untuk rakyat dan memperkukuh Malaysia untuk generasi akan datang. – Bernama
The post Belanjawan 2027 satu waad kepada rakyat – PM appeared first on Kosmo Online.






