Belanjawan peruntuk RM388.1 bilion, jualan Rahmah diperluas

24 Feb 2023 • 4:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 24 FEB: Belanjawan 2023 Malaysia Madani yang dibentangkan Perdana Menteri hari ini memperuntukkan RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM97 bilion belanja pembangunan.

Belanjawan 2023 yang menjadi langkah pertama yang menelusuri kerangka Pembangunan Malaysia Madani menumpukan 12 ikhtiar utama berlandaskan tiga tekad iaitu:

Pertama: Pemacuan ekonomi yang terangkum dan mampan
Kedua: Reformasi institusi & tatakelola bagi memulih keyakinan
Ketiga: Keadilan sosial untuk menyederhana kesenjangan

Berikut beberapa pendekatan diambil:

Tidak cadang laksana GST

Kerajaan belum bercadang melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Dalam keadaan rakyat terbanyak masih susah, inflasi makanan melebihi lima peratus , kadar upah yang masih rendah, maka ternyata saat ini bukanlah ruang masa yang sesuai untuk memperkenal dan melaksanakannya.

Cukai Barangan Mewah

Kerajaan mengambil pendekatan lebih progresif sebagai langkah baharu meluaskan asas cukai kepada mereka yang punyai kemampuan.

Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun ini dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah. Antaranya jam tangan mewah dan barangan
fesyen mewah.

Selaras amalan terbaik antarabangsa, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun
2024 pada kadar yang rendah.

Duti eksais vape

Kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Baikpulih klinik dan sekolah daif

Kerajaan menyasarkan menyiapkan dengan kadar segera pembaikan bagi 400 klinik daif dan 380 sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion

Untuk menyegerakan pelaksanaan projek, had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM500,000 serta
perolehan secara cabut undi kepada RM200,000 berbanding RM100,000.

Batal projek tebatan banjir, Jana Wibawa

Kerajaan batal projek tebatan banjir RM15 bilion, Jana Wibawa RM7 bilion dan projek lain yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini.

Naik taraf jalan

Kerajaan menyediakan peruntukan RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan persekutuan dengan RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4 bagi melaksanakan penyelenggaran kecil.

Sementara itu, RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar selain RM100,000 di setiap daerah bagi segerakan kerja penurapan berdasarkan aduan rakyat

Sejumlah RM50 juta disediakan untuk memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi dengan segera.

Kemudahan pinjaman untuk usahawan kecil

Agensi-agensi Kerajaan sedia pelbagai kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan nilai keseluruhan sehingga RM40 bilion.

Usahawan mikro dan penjaja kecil disediakan kemudahan pinjaman bawah agensi seperti Bank Negara, BSN dan TEKUN dengan dana yang tersedia RM1.7 bilion.

Kerajaan juga bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing.

Bagi perniagaan kecil dan sederhana (SME), hampir RM10 bilion dana pinjaman disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sedia menjamin sehingga RM20 bilion pinjaman PKS dengan sektor tumpuan seperti teknologi tinggi, pertanian dan pembuatan diberi jaminan Kerajaan sehingga 90 peratus.

Wakaf Madani

Bagi menunjukkan keupayaan sektor wakaf dalam agenda pembangunan, kerajaan menerima komitmen swasta untuk mewujudkan Wakaf Madani dengan aset-aset bernilai lebih RM1 bilion.

Aset-aset terdiri daripada tanah, masjid, bangunan, kemudahan kesihatan dan pendidikan bagi manfaat golongan fakir miskin, berpendapatan rendah dan golongan rentan lain.

Pinda Akta Insolvensi 1967

Usaha memastikan kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa singkat kerana rakyat diisytihar muflis berhak punyai peluang kedua.

Setakat Januari, lebih 260,000 kes muflis direkod melibatkan majoriti anak Melayu yang berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara.

Kes kecil yang hutang kurang RM50,000 dan memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta mulai 1 Mac 2023. Kerajaan sasar 130,000 ribu rakyat dilepaskan daripada status muflis setelah pindaan akta diluluskan.

Tubuh pasukan khas PDRM

Ditubuhkan khusus untuk banteras aktiviti pornografi kanak-kanak.

Polis Diraja Malaysia akan bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes-kes seksual, wanita dan kanak-kanak.

Perkeso sedia insentif RM45 juta

Perkeso sedia insentif RM45 juta kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya TVET sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan.

Perkeso juga menyediakan insentif kepada majikan menggaji golongan mudah terjejas seperti OKU, bekas banduan, gelandangan dan penganggur tegar sehingga RM600 sebulan untuk tempoh sehingga tiga bulan.

Kerajaan tanggung bayaran latihan untuk pekerja gig jalani program tingkat kemahiran micro credentials sehingga RM4,000 dengan elaun RM300 untuk tiga bulan.

Kerajaan akan menyediakan RM50 juta geran sepadan untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan (AI) yang berupaya menggaji pekerja tempatan yang berkemahiran.

Tingkat had kelayakan bantuan guaman penuh

Jabatan Bantuan Guaman tingkat had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh daripada RM30,000 kepada RM50,000

Bagi bantu rakyat susah dapat pembelaan adil dan saksama dengan fungsi Jabatan Bantuan Guaman juga diperluas meliputi kes sivil dan syariah

Teliti ikhtiar gubal akta khusus tawar bantuan guaman percuma bagi kes jenayah supaya rakyat susah turut mendapat akses kepada keadilan

Galak wanita kembali kerja

Perkeso pinda Aktanya untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80 peratus daripada nilai gaji yang diinsuranskan pekerja.

Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin dapat manfaat daripada geran ini melibatkan dana keseluruhan RM290 juta setahun.

Kepada penjawat awam, kerajaan akan menyediakan subsidi yuran taska RM180 sebulan selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada RM5,000 kepada RM7,000.

Kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 taska dan tabika KEMAS termasuk 13 projek baharu.

Laksana Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)

Peruntuk RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi jayakan IPR bagi mengupayakan golongan miskin untuk tingkat potensi pendapatan.

Kira-kira 130,000 rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum segera dibantu keluar dari belenggu kemiskinan melalui langkah lebih menyeluruh.

Kos sara hidup rakyat

Kerajaan sedia sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.

Sejumlah besar dana ini untuk minimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan perkhidmatan kepada rakyat

Perluas jualan Rahmah

Kerajaan sedia RM100 juta untuk jayakan program ini di setiap kawasan Parlimen.

Tawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran.