SEPANG, 16 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat melonjak sektor pelancongan menerusi Belanjawan Selangor 2025 bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata pelbagai inisiatif disediakan bagi merancakkan aktiviti pelancongan sekali gus mencapai sasaran menarik lebih lapan juta pelancong .
“Saya yakin kepimpinan Dato’ Menteri Besar akan menyediakan idea (inisiatif) yang bernas pada belanjawan akan datang untuk memastikan kejayaan TMS2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media promosi TMS2025 sempena kejohanan MotoGP2025 di pusat media Litar Antarabangsa Sepang di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Kerajaan Negeri akan meneliti dapatan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025 lepas bersama pemegang taruh untuk menambah baik sektor pelancongan negeri.
“Dapatan pada sesi libat urus ini penting kerana Selangor ingin kekalkan momentum sebagai negeri contoh dan peneraju dalam sektor pelancongan di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, pentadbiran negeri menyasarkan lebih lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa mengunjungi Selangor yang menawarkan lebih 60 program sempena TMS2025.
Bagi merancakkan lagi promosi kempen berkenaan, Selangor menganjurkan Karnival Sawah Padi di Sabak Bernam yang sarat dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sukan air pada November ini.
Bermula 1 Januari, TMS2025 akan dilancarkan bersekali dengan sambutan ambang tahun baharu pada malam 31 Disember ini dan disempurnakan Dato’ Menteri Besar.

The post Belanjawan Selangor: Lonjak sektor pelancongan, jayakan kempen TMS2025 appeared first on Selangorkini.



