Beli Kereta Mewah Di Langkawi Sebab Tak Bayar Cukai, Ini Pula Tindakan Kerajaan!

LocalPolitics
12 Oct 2025 • 11:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Kerajaan bercadang melaksanakan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan dengan mengehadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 berkuat kuasa 1 Januari depan.

Langkah itu diambil kerana terdapat pemilik kenderaan mewah mengambil kesempatan di atas pengecualian cukai yang ditawarkan di dua kawasan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pemilik kenderaan mewah sudah sekian lama mengambil kesempatan pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan.

"Bagi menangani ketirisan ini, kerajaan bercadang supaya pengecualian cukai kenderaan di Langkawi dan Labuan dihadkan kepada nilai kenderaan tidak melebihi RM300,000 berkuat kuasa 1 Januari 2026," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff menyifatkan cadangan berkenaan mampu mengurangkan ketirisan cukai kenderaan mewah, sekali gus dapat membantu menjana pendapatan tambahan kepada kerajaan.

"Cadangan ini bagus kerana ada sesetengah pihak ambil kesempatan dengan membeli kenderaan mewah di Langkawi dan cuba lari daripada membayar cukai.

"Saya lihat, langkah ini juga akan melegakan pemain industri pelancongan di Langkawi kerana mereka dapat membeli kereta dengan harga murah dan pada masa sama dapat membantu menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan kereta sewa kepada pelancong," katanya.