Belia pemacu tindakan kelestarian

WorldEnvironment
7 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Belia pemacu tindakan kelestarian

MINGGU lalu saya ke Ningbo, Zhejiang, China untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Serantau Asia-Pasifik bagi Pusat Kepakaran Serantau bagi Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (RCE) ke-17, atas jemputan di bawah Institut untuk Pengajian Termaju Kemampanan Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IAS).

RCE ialah sebuah rangkaian di bawah UNU-IAS yang beroperasi di seluruh dunia dengan tujuan untuk menghimpunkan institusi dan pertubuhan dari pelbagai bidang bagi memacu usaha bersepadu ke arah dunia bermasyarakat lebih mampan.

Seperti persidangan RCE yang lain, jadualnya sangat padat sepanjang hari sehingga berakhir pada malamnya. Inilah detik-detik penting bagi kami dari pelbagai negara untuk berkumpul dan bergaul secara bersemuka untuk berbincang, berkongsi pengalaman, merangka gerak kerja serta mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah utama dalam pergerakan masing-masing.

Antara sebab utama saya dijemput ke persidangan ini adalah untuk memudah cara sebuah forum pada hari kedua persidangan. Sesi tersebut membincangkan berkenaan kepimpinan belia ambang dunia pasca-2030.

Semua bercakap tentang kemampanan, termasuk soal Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Namun, biasanya hal ini hanya tinggal sekadar slogan tanpa adanya sebarang langkah khusus bersepadu untuk melakukan tindakan terhadap kesejahteraan dunia.

Ketika SDG dilancarkan pada 2015, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menetapkan 2030 sebagai sasaran bagi mencapai kesemua 17 matlamatnya. Namun malang sekali, hari ini kita hanya mencapai sekitar 15 peratus sahaja daripada sasaran yang ditetapkan.

Oleh itu, dalam perbincangan pasca-2030, kita mesti bertindak dengan mengambil pengajaran daripada kesilapan yang kita lakukan semasa pelaksanaan SDG sejak 2015.

Pada masa sama, kita harus melihat ke depan melangkaui 2030 untuk mengorak langkah seterusnya.

Inilah antara perkara utama yang dibincangkan semasa persidangan ini, terutamanya pada forum yang saya kendalikan. Ini kerana kunci kejayaan matlamat ini bukan sahaja kesedaran tetapi lebih penting lagi tindak gerak dalam kalangan generasi muda, yang akan menggembleng generasi seterusnya ke arah yang sama.

Sebagai Penyelaras Belia RCE bagi Rantau Asia-Pasifik, antara tanggungjawab saya adalah untuk membina jaringan kerjasama erat dalam kalangan pemimpin-pemimpin belia di rantau ini untuk bersama-sama menggerakkan golongan muda di kawasan masing-masing agar memainkan peranan kita semua.

BELIA JARANG BERSUARA TENTANG KEMASYARAKATAN

Pengarah UNU-IAS, Prof. Yamaguchi Shinobu turut menekankan semasa sesi tersebut tentang betapa pentingnya keterlibatan belia. Menurutnya, pihak PBB memberi banyak ruang untuk kepimpinan belia, serta memberi pentas untuk bersuara.

Namun, antara cabaran terbesar ialah kurangnya daya usaha untuk belia bertindak. Hal ini disuarakan oleh Pengarah RCE Kyrgyzstan, Dr. Chinara Sadykova.

Menurut beliau, ramai yang sudah mempunyai kesedaran, namun mereka mempunyai sikap tidak peduli yang menyebabkan mereka sekadar berpeluk tubuh.

Bagi kami yang bergerak di lapangan, memang sukar memupuk minat dalam kalangan anak muda untuk usaha ke arah kesejahteraan masyarakat. Sekiranya mereka mempunyai minat ke arah aktivisme namun minat mereka itu ke arah kegiatan yang kurang berfaedah.

Penyelaras Belia RCE Hangzhou, Zhao Yiran turut menyuarakan belia umumnya hanya berminat untuk bersuara tentang keinginan diri mereka sahaja dan jarang sekali tentang kepentingan masyarakat. Malah, apa yang mereka inginkan belum tentu bagus untuk diri mereka pun.

Menurutnya, inilah masalah ketara ketika melakukan kegiatan pemerkasaan belia, kerana mereka sama ada hanya semata-mata ingin mencapai kemahuan atau langsung tidak mahu ambil peduli.

Menariknya, kami mendapati pada asasnya masalah yang kami hadapi di lapangan tidak banyak berbeza sama ada di Malaysia, Jepun, Korea, China, Kyrgyzstan, Vietnam atau di mana-mana sahaja.

Maka, langkah ke depan adalah untuk menyelesaikan masalah ini dan memastikan agar tindakan tuntas diambil dan bukannya sekadar bercakap mengenai kemampanan semata-mata.

Sudah-sudahlah kita berleret-leret berdialog tentang cara nak mencapai matlamat 2030, tanpa sebarang tindakan ke arah memperbetulkan kesilapan lampau kita.

Malah, ada juga institusi yang lagi mencurah garam ke atas luka dengan membalikkan segala usaha yang dilakukan sebelum ini, hanya kerana perasaan iri dengki atas kejayaan yang lain dalam usaha ini.

Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan apa yang diusahakan oleh RCE Hangzhou dan Ningbo selaku tuan rumah persidangan kali ini. Mereka mengisytiharkan serta melancarkan Langkah Zhejiang, sebuah inisiatif susulan daripada Perisytiharan Okayama 2025 yang diisytiharkan tahun lalu semasa Persidangan RCE Sedunia di Okayama, Jepun.

Memandangkan saya antara ahli Jawatankuasa Penulis Perisytiharan Okayama, pihak penganjur telah menjemput saya untuk memberi ucapan pelancaran bagi Langkah Zhejiang semasa upacara penutup persidangan.

Langkah Zhejiang bertujuan untuk menyahut seruan daripada teras-teras Perisytiharan Okayama dan menterjemahkannya kepada langkah amali yang sesuai dengan konteks tempatan mereka.

Di dalam butirannya, mereka bukan sahaja menekankan tentang kepentingan mendengar pendapat daripada belia tetapi lebih penting lagi mendayakan golongan itu  untuk menjadi pencipta dalam usaha pendidikan untuk pembangunan mampan.

Perkara ini takkan datang dengan sendirinya tetapi perlu dipupuk melalui usaha memberi kefahaman kepada belia tentang isu semasa, konteks masyarakat, ihsan dan tidak hanya bersikap mementingkan diri sendiri.

Segalanya hanya boleh dicapai dengan memberi pendedahan secara praktikal kepada belia supaya mereka tidak hanya hidup di dalam gelembung selesa kehidupan sendiri sahaja.

Maka, pemerkasaan belia mestilah bersandarkan sikap bertanggungjawab dan kebijaksanaan, bukannya sebagai wadah bagi memperjuangkan kemahuan masing-masing tanpa mempedulikan kepentingan masyarakat dan negara.

Seperti yang dikatakan Yiran, kita tidak boleh sekadar memberi tumpuan kepada apa yang belia mahukan sahaja tetapi lebih penting lagi perlu melihat kepada apa yang diperlukan oleh masyarakat secara amnya. Inilah baru dikira sebagai pemerkasaan belia.

Sekiranya kita sekadar melayan kemanjaan belia, maka sampai sudahlah belia akan terus menjadi lebih teruk dari generasi sebelumnya. -UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

The post Belia pemacu tindakan kelestarian appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved