Bell Ngasri Dapat Kereta Mini Cooper, Akui Tak Tidur Malam Terfikir Bakal Dapat Kereta Apa 

Cars
31 Jul 2023 • 5:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Bell Ngasri tidak menyangka akan menerima sebuah kereta sebagai hadiah kemenangan - gambar Nooreeza Hashim

Pemenang anugerah Artis Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) iaitu Bell Ngasri hari ini telah menerima sebuah kereta Mini Cooper Clubman S bernilai RM200,000 tajaan DTC Motors Sdn Bhd atas kemenangannya tempoh hari. 

Bell ketika ditemui di majlis penyerahan kereta berkenaan berkata, dia sebenarnya tidak kisah jenis kereta yang ingin diberikan kerana bersyukur dan menghargai ada pihak yang sudi untuk menghadiahkan sebuah kereta untuknya. 

image is not available
Bell Ngasri bersyukur kerana menerima sebuah kereta atas kemenangannya - gambar Noreeza Hashim

“Jenis atau saiz kereta bukan menjadi masalah buat saya. Ada orang nak bagi kereta pun saya dah bersyukur. Tak sangka pula saya akan dapat sebuah kereta Mini Cooper Clubman S.  

“Saya harap dengan pemberian kereta ini, tiada pihak yang berkecil hati. Sebelum ini, ada ramai yang mempersoalkan kenapa saya tidak menang kereta seperti barisan pemenang ABPBH sebelum ini. Pada saya, dapat trofi itu pun merupakan satu penghargaan yang paling tinggi dan dahsyat buat saya.  

“Tetapi tak sangka pula selepas Khairy Jamaluddin mempersoalkan kenapa saya tidak menang kereta sewaktu sesi wawancara di Hot FM minggu lalu, ada insan yang mendengar dan menghubungi untuk menghadiahkan kereta kepada saya,” katanya.  

image is not available
Bell Ngasri mengakui tak lena tidur memikirkan jenis kereta yang akan diterima - gambar Noreeza Hashim

Kongsi Bell lagi, dia juga tidak dapat tidur malam tadi kerana memikirkan kereta apa yang akan dihadiahkan kepadanya hari ini.  

“Dua jam saya tak dapat tidur kerana terfikir kereta apa yang saya akan dapat. Lagi dua jam pula saya sempat mengigau tentang kereta,” ujarnya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DTC Motor Sdn. Bhd. Afendy Wahid berkata, pihaknya berniat untuk memberikan kereta kepada Bell selepas melihat kemenangannya di ABPBH35 yang lalu tidak disertakan hadiah kereta seperti pemenang-pemenang terdahulu. 

“Idea ini datang selepas saya tonton ABPBH35. Keesokan harinya, saya borak-borak kosong dengan rakan sekerja apa kata kita yang beri. Kemudian saya hubungi sepupu Bell untuk berbincang dan ingin bertemunya pada hari Isnin.  

“Tiba-tiba pagi Isnin itu, sepupu dia menghubungi saya dan menceritakan tentang apa yang berlaku di Hot FM iaitu mereka mencari jika ada sesiapa yang ingin menaja kereta kepada Bell. Semuanya berlaku secara spontan dan Bell memang layak untuk dapat kereta ini,” katanya.  

Tahniah diucapkan kepada Bell Ngasri. Rezeki memang tak pernah salah alamat. – Getaran, 31 Julai 2023.