‘Bella’ & 7 Individu Mengaku Bersalah, Ugut Bunuh, Pukul & Kurung Lelaki

LocalPolitics
25 Apr 2025 • 2:45 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Pada Isnin (21 April) lalu, tular di media sosial video seorang lelaki ditumbuk dan dibelasah oleh sekumpulan individu.

Dalam kejadian yang berlaku pada 18 April itu, kelihatan mangsa ditumbuk berkali-kali sehingga longlai oleh lelaki yang berbeza manakala individu lain cuba menahan mangsa daripada melawan.

Video itu nyata mendapat perhatian ramai termasuklah penyanyi rap tanah air, Caprice yang mahu pihak berkuasa segera mengambil tindakan.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak mendedahkan tujuh lelaki dan seorang wanita yang dikenali sebagai Bella telahpun ditahan pada 21 April lalu.

Bella & 7 Lelaki Mengaku Salah Atas Kesemua Pertuduhan

Terbaharu, lapan individu termasuk Bella didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini (25 April) atas tiga pertuduhan termasuklah mengugut bunuh, ugutan memukul serta mengurung seorang lelaki pada minggu lalu.

Kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap setiap pertuduhan berkenaan sebaik ia dibacakan di hadapan Majistret Atifah Azimah Wahab.

Kesemua tertuduh terbabit adalah:

  1. Muhammad Aqmal Hafifi Mustafa Kamal (25 tahun)
  2. Ahmad Rushdi Jumadi (23 tahun)
  3. Muhammad Nur Shafiq Abdullah (25 tahun)
  4. Muhammad Haikal Zulkarnain (19 tahun)
  5. Mohamad Amierul Hakim Shamsuri (23 tahun)
  6. Mohamad Danish Hakim Kamaruddin (20 tahun)
  7. Syamsul Hamiziey Saiful Razali (19 tahun)
  8. Nuredrianna Balqqisyh Anabella Norazman (22 tahun)

Mengikut pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa secara bersama-sama menakutkan secara jenayah terhadap mangsa, Muhammad Faris Syahmi Mohd Ridzwan yang berusia 22 tahun dengan ugutan yang menyebabkan kematian atas niat mahu menakutkan mangsa.

Pertuduhan kedua pula, kesemua tertuduh termasuk Bella dan dua lagi yang masih bebas sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

Mereka didakwa tidak akan berhenti memukul Muhammad Faris Syahmi sehingga mangsa bersetuju untuk membayar RM3,000.

Tindakan itu menyebabkan mangsa sanggup menyerahkan wang tunai RM650 serta kunci motosikal Yamaha Y16 kepada Mohammad Amierul Hakim.

Manakala pertuduhan ketiga adalah kesemua tertuduh termasuk Bella dan dua lagi yang masih bebas didakwa secara bersama mengurung mangsa.

Namun bagi pertuduhan keempat, hanya tujuh tertuduh lelaki yang berdepan pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada mangsa manakala seorang lagi masih bebas.

Kesemua mereka kemudiannya mengaku bersalah bagi pertuduhan tersebut.

Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai, Johor pada 18 hingga 19 April lalu di antara jam 10 malam sehingga 4 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohon Mahkamah Benarkan Ikat Jamin RM10,000

Bagi pertuduhan pertama sehingga ketiga, kesemua mereka didakwa mengikut mengikut Seksyen 506, Seksyen 384 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan.

Manakala, bagi pertuduhan keempat pula adalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nuraini Nik Azman dan Nur Fatihah Mohd Nizam.

Kesemua tertuduh pula diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Norfarahin Mohd Yazid dan T Nadarajan.

Abdul Ghafar telah memohon kepada mahkamah agar jaminan RM10,000 dikenakan dan seorang penjamin atas setiap pertuduhan.

“Ini bermakna kesemua tujuh tertuduh lelaki dimohon dikenakan jaminan berjumlah RM40,000 setiap seorang bagi empat pertuduhan, manakala tertuduh wanita iaitu Bella dimohon dikenakan jaminan berjumlah RM30,000, bagi tiga pertuduhan dihadapinya,” katanya.

Peguam Bela Tertuduh Mohon Jaminan Lebih Rendah, Ambil Kira Pengakuan Yang Dibuat

Walau bagaimanapun, Nor Farahin memohon agar mahkamah mengenakan jaminan lebih rendah setelah mengambil kira pengakuan bersalah kesemua tertuduh.

“Tiga tertuduh termasuk Bella tidak bekerja manakala empat tertuduh lain bekerja sebagai pekerja kilang manakala seorang lagi bekerja sebagai pekerja kelab dengan pendapatan antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan sahaja.

“Bella tinggal bersama ibu bapanya dan dia menderita penyakit asma,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan tujuh tertuduh dijamin dengan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin manakala Bella RM14,000 juga dengan seorang penjamin.

Tarikh bacaan kes dan jatuh hukum kemudiannya ditetapkan pada 3 Jun depan.

Terdahulu, mangsa dalam satu perbualan video bersama Caprice ada mendedahkan punca kejadian berkenaan.

Dakwa Muhammad Faris, insiden berlaku selepas Bella yang baru dikenali di TikTok mengajak dia untuk menemaniya tidur di rumah wanita berkenaan.

Muhammad Faris kemudiannya menerima ajakan tersebut selepas Bella mendakwa dia tidak sihat.

Bella kemudiannya menjemputnya naik ke rumah sebelum dia dipukul oleh beberapa individu berkenaan.

Baca Artikel Berkaitan:

Source: