“Belum ada orang putih komen bahasa Inggeris saya..” – Sanusi pertahan ‘Siklish’, jawab teguran netizen Melayu

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 5:56 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil mempertahankan kemampuannya berbahasa Inggeris selepas menerima kritikan pengguna media sosial susulan ucapannya pada Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Menurut beliau, keberkesanan komunikasi tidak sepatutnya diukur berdasarkan ketepatan tatabahasa semata-mata, sebaliknya sejauh mana sesuatu mesej dapat difahami oleh pendengar.

Malah, Sanusi mendakwa beliau tidak pernah menerima teguran daripada penutur asal bahasa Inggeris, sebaliknya kritikan terhadap penyampaiannya datang daripada pengguna media sosial tempatan.

“Belum ada orang putih komen bahasa Inggeris saya, yang komen ini semua Melayu.
“Duta Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan India, saya bercakap dengan mereka, mereka faham, mereka hargai saya, itu adalah seni dalam komunikasi,” katanya.

May be an image of newsroom and text

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Siri Syarahan ‘The Greater Kedah’, hari ini, bagi mengulas kritikan terhadap ucapannya yang menyentuh isu unsur nadir bumi (REE) pada forum berkenaan.

Sanusi turut memaklumkan bahawa beliau pernah mengunjungi 38 negara dan menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan serta misi antarabangsa.

“Bahasa apa pun penting tetapi lebih penting lagi prestasi dan cara penyampaian. Selagi orang faham dan boleh terima, Alhamdulillah.
“Komunikasi ini bukanlah pembaris. Janganlah betul sangat. Selagi orang faham, okaylah, saya orang Sik, jadi ada dialek Sik jadi Siklish, Singapura ada Singlish,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berasingan, Sanusi turut menggesa kerajaan Persekutuan mempercepatkan penggubalan dasar perlombongan REE bagi membolehkan negeri yang mempunyai sumber mineral berkenaan menjana pendapatan baharu.

Menurutnya, pelabur sudah menunjukkan minat dan menjalankan kerja penerokaan, namun pelaksanaan aktiviti perlombongan masih tertangguh akibat kekangan dasar serta proses kelulusan teknikal.

“Buat polisi cepatlah. Kami nak ekstrak REE. Pelabur sudah masuk buat eksplorasi dan selesai proses penerokaan, kita nak beri lesen perlombongan, tetapi mereka nak buat pelan perlombongan, penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan pelbagai perkara lain yang memerlukan dasar serta kelulusan.
“Apabila proses teknikal lambat, maka lambat lagi nak ekstrak dan hasil baharu negeri pun tertangguh,”ujar beliau.

May be an image of one or more people, newsroom, dais and text

Beliau berpandangan kelewatan tersebut boleh menyebabkan negeri terlepas peluang memanfaatkan permintaan tinggi terhadap REE yang berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu.

Sumber: Harian Metro (Noorazura Abdul Rahman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved