Benarkan NGO masuk ke Depoh Imigresen Kimanis: MHO

LocalPolitics
10 Dec 2022 • 11:09 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa kerajaan supaya membenarkan badan bukan kerajaan (NGO) masuk ke Depoh Imigresen Kimanis untuk membuat pemantauan.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim turut menggesa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya meneliti dakwaan krisis makanan dan kesihatan yang berlaku di depoh terbabit.

"Pihak kami mendapat maklumat di lapangan bahawa terdapat krisis makanan dan kesihatan di dalam Depoh Tahanan Kimanis.

"Perkara ini turut dilaporkan oleh ahli keluarga tahanan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Jumaat media tempatan melaporkan, Saifuddin Nasution menafikan dakwaan tahanan di Depoh Imigresen Kimanis dilayan dengan teruk dan meminta pihak media supaya tidak memperbesarkan video yang tular berkenaan.

Saifuddin Nasution dilapor berkata, kemerosotan kesihatan tahanan berkenaan berpunca daripada gaya hidup individu terbabit sebelum ditahan dan bukan akibat layanan di depoh terbabit.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, pihaknya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak bagaimanapun beliau tetap meminta KDN supaya meneliti semula keadaan di depoh terbabit.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan Saifuddin yang mendakwa kesemua tahanan terbabit berada dalam keadaan tidak bermaya kerana gaya hidup tidak sihat yang diamalkan mereka sebelum ditahan di depoh itu.

Katanya, MHO yang selama ini lantang mengkritik berkenaan isu kemanusiaan melibatkan rakyat Malaysia yang di luar negara tidak mahu melihat perkara sama berlaku di depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Berdasarkan video berkenaan berapa lama sebenarnya individu terbabit telah ditahan dan adakah logik sekiranya kesemua individu yang tular telah susut sebelum ditahan?

"Oleh itu, kami ingin mencadangkan supaya KDN dapat mempertimbangkan permohonan untuk melibatkan NGO supaya dibenarkan untuk masuk bagi melihat sendiri keadaan tahanan-tahanan di depoh yang terlibat," ujar beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved