Bencana Banjir: Cuti Semua Menteri, Timbalan Menteri Dibekukan – PM Anwar

LocalPolitics
29 Nov 2024 • 4:21 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Cuti semua jemaah menteri dibekukan susulan bencana banjir melanda negara ketika ini.

Memetik laporan freemalaysiatoday, perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta agar menteri dan timbalan menteri untuk turun ke padang bagi menyantuni mangsa banjir yang terjejas.

“Ya (cuti dibekukan). Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pudina, Putrajaya hari ini.

Foto: Bernama

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita adakah cuti menteri akan dibekukan ketika musim banjir melanda negara ketika ini.

Tambahan pula, menteri-menteri juga turut diarah turun padang dan meneruskan tugas ikut portfolio masing-masing bantu rakyat terjejas.

“Semua menteri diminta terus tugas, (saya mengarahkan mereka) turun (turun padang),” ujarnya.

Difahamkan, semalam Anwar dilaporkan menyatakan bahawa kerajaan persekutuan bersama enam kerajaan negeri yang terjejas banjir akan memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjamin sepanjang Monsun Timur Laut.

image is not available

Foto: Harian Metro

Bukan itu sahaja, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan turut memburukkan si­tuasi banjir apabila air sungai tidak dapat keluar ke laut.

“Kerajaan juga sudah melakukan siap siaga awal, termasuk mengaktifkan sistem amaran awal oleh METMalaysia serta memastikan semua pasukan keselamatan lebih bersedia.

“Tumpuan utama ketika ini adalah memantau bencana dan situasi semasa banjir di Kelantan dan Terengganu,” jelasnya.

image is not available

Foto: Kosmo Online!

Berdasarkan ramalan Jabatan Me­teorologi (MetMalaysia), banjir kali ini dijangka berlaku lebih teruk dalam tempoh 10 tahun di enam negeri, terutama di Pantai Timur, berbanding ‘bah kuning’ pada 2014.

Sumber: FMT