
KUALA LUMPUR - Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin, direhatkan sementara daripada tugasnya susulan terpalit dakwaan kontroversi panas oleh bekas isterinya yang tular di media sosial.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, bagi memberi ruang kepada Shahrul Nasrun menyelesaikan urusan peribadinya yang kini hangat diperkatakan umum.
"Buat masa ini, Datuk Shahrul direhatkan sementara daripada tugasnya sebagai Bendahari Pemuda BN bagi membolehkan beliau menumpukan perhatian kepada urusan peribadinya.
"Mengenai hal peribadinya, kami tidak akan campur tangan dan akan memberinya ruang yang diperlukan untuk menyelesaikannya," katanya, memetik laporan sebuah portal berita, semalam.
Kontroversi panas membabitkan Shahrul Nasrun tercetus, selepas bekas isterinya, Datin Amyera Zainal, membuat beberapa dakwaan melalui media sosial.
Pempengaruh dan usahawan itu, berkata beliau berbuat demikian selepas merasakan ada pihak tertentu yang cuba mencalar reputasinya.
Dakwaan itu tercetus hanya beberapa hari selepas Shahrul Nasrun melangsungkan pertunangan dengan Meerween Hanees Natasha Meeat pada 25 Oktober lalu, sekali gus mencetuskan perbincangan meluas di media sosial mengenai kredibilitinya sebagai seorang ahli politik.
Susulan itu, Shahrul Nasrun dalam satu kenyataan di media sosial menafikan dakwaan itu dan menyatakan kekesalan kerana isu peribadinya menjadi perhatian umum.
Beliau turut mempertahankan Meerween dan menegaskan bahawa tunangnya itu tidak terbabit dalam skandal berkenaan.
Shahrul Nasrun mengakui perkahwinannya berakhir pada 30 Julai 2024 dan berkata telah melakukan kesilapan tetapi menganggapnya sebagai pengajaran hidup. - 30 Oktober, 2025
The post Bendahari Pemuda BN, Shahrul Nasrun ‘direhatkan sementara’ gara-gara terpalit isu peribadi appeared first on Scoop.
