Bendera, papan calon PH di Mengkibol dirosakkan

LocalPolitics
29 Jun 2026 • 12:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bendera, papan calon PH di Mengkibol dirosakkan
Chu Poh Yee (kiri) menunjukkan bahan kempen yang dirosakkan. - Foto FB Chu Poh Yee

KLUANG – Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian merosakkan bahan kempen membabitkan bendera dan papan gambar calon Pakatan Harapan (PH) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan pihaknya menerima laporan pada jam kira-kira 10.30 pagi.

"Berdasarkan laporan, pengadu menerima panggilan daripada ketua pasukan kempen memaklumkan beberapa bendera dan papan gambar calon PH telah dicabut, dibuang ke dalam longkang serta dirosakkan oleh individu tidak bertanggungjawab di Jalan Chong Hwa dan Jalan Aman, Taman Aman, Kluang.

"Butiran barang rosak merupakan 10 bendera parti dan tiga papan gambar calon mengalami kerosakan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang mengesan individu yang terlibat dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran," katanya lagi.

Sementara itu, calon PH, DUN Mengkibol, Chu Poh Yee, mengecam tindakan merosakkan bendera dan bahan kempen parti, sambil menyeru semua pihak berkempen secara matang sepanjang PRN Johor.

“Bendera boleh tumbang, tetapi nilai hormat jangan sesekali hilang.

“Di sebalik setiap bendera, ada usaha sukarelawan yang bekerja keras. Berbeza pendapat itu perkara biasa, tetapi merosakkan hasil usaha orang lain bukan caranya.

“Kalau ada penyokong saya yang melakukan perkara sama kepada pihak lain, saya juga akan mengecamnya,” katanya dalam muat naik di laman Facebooknya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved