Seramai 68 pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) semester empat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai Bengkel Ukulele: Mempelajari Budaya dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat 1, universiti itu, baru-baru ini.
Bengkel berkenaan merupakan salah satu pengisian kursus wajib, Pengajian Sosial dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak (KAI1063), yang ditawarkan Fakulti Pembangunan Manusia UPSI.
Penceramah jemputan, Mohamad Shukri Ishak yang juga pensyarah Program Pendidikan Awal Kanak-kanak di Kolej Vokasional Kuala Kangsar, mengendalikan sesi pengajaran yang memberi tumpuan kepada teknik asas permainan ukulele serta pengaplikasian lagu kanak-kanak dalam proses pembelajaran.
Menurut kenyataan penganjur, bengkel itu dilaksanakan pada minggu kelima kuliah dengan tujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepelbagaian budaya di Malaysia merangkumi aspek makanan, pakaian, perayaan dan alat muzik, seterusnya mengaplikasikan elemen tersebut dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Pelajar turut diberi peluang untuk memahami pengurusan dan pentadbiran program secara sistematik, sekali gus meningkatkan kemahiran mereka dalam merancang serta melaksanakan aktiviti intervensi berkaitan pembelajaran awal kanak-kanak.
Bengkel sehari itu dibahagikan kepada tiga slot. Slot pertama bermula jam 9 pagi memperkenalkan pelbagai budaya melalui muzik, diikuti slot kedua yang menekankan keunikan muzik masyarakat Malaysia. Slot ketiga pula memberi peluang kepada pelajar mempelajari permainan ukulele secara praktikal dengan membawakan gubahan lagu kanak-kanak.
Sebelum itu, program bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8 pagi dan ditutup dengan ucapan penyelaras kursus KAI1063, Farhana Nohrin Mohd Anuar.
Farhana dalam ucapannya berkata program seumpama itu penting kerana ia menyediakan pengalaman pembelajaran secara langsung dan praktikal kepada mahasiswa, selain memperkukuh kemahiran mereka untuk diaplikasikan di alam pekerjaan kelak.
“Pelajar bukan sahaja berpeluang mempelajari alat muzik ukulele tetapi juga mendapat pendedahan dalam pengurusan program, kerjasama berkumpulan dan penggunaan kreativiti dalam mengendalikan aktiviti pendidikan kanak-kanak. Kemahiran ini amat berguna apabila mereka melangkah ke dunia kerjaya sebagai pendidik,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pendekatan berasaskan budaya mampu menarik minat kanak-kanak, di samping membantu mereka memahami kepelbagaian masyarakat.
Menurut penganjur, bengkel itu berjaya mencapai objektif yang digariskan iaitu meningkatkan kreativiti pelajar, menguasai kemahiran penggunaan alat muzik relevan serta memperluaskan pengetahuan tentang kepentingan medium muzik dalam pendidikan awal.
Program berakhir dengan sesi fotografi melibatkan penceramah jemputan, penyelaras kursus serta para pelajar.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)

