
Kota Kinabalu: Mahkamah Pilihan Raya pada Isnin menolak petisyen pilihan raya difailkan calon GRS bagi Bengkoka, Dr Samuil Mopun, bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Bengkoka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Dean Wayne Daly membenarkan Bantahan Awal yang dikemukakan oleh pihak-pihak responden.
Mahkamah mendapati petisyen itu gagal mematuhi keperluan mandatori di Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, termasuk Peraturan 3(1) dan 3(2), Peraturan 4(1), Peraturan 9 serta Peraturan 15, yang merupakan syarat asas bagi menggerakkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya.
Sehubungan itu, petisyen itu ditolak tanpa perlu melalui perbicaraan penuh dan mahkamah turut memerintahkan kos dibayar kepada responden.
Dengan keputusan ini, Datuk Harun Durabi dari Barisan Nasional (BN) kekal sebagai Adun bagi Bengkoka sebagaimana yang telah digazetkan.
Harun diwakili peguam Mohd Reduan Aklee, Hassan Murtaza, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mortimer Maluda dan Wong Chik Kien.
Pihak responden kedua dan ketiga diwakili oleh SFC Ahmad Hanir Hambaly @ Alwi dan Raja Shahril Anuar Raja Baniamin dari Pejabat Peguam Negara.
Petisyen itu, difailkan oleh Dr Samuil yang diwakili peguam Jaikol Situn dan Rijolin Molisin, merupakan petisyen pertama yang diputuskan berhubung Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 29 Nov 2025.
Pada PRN Sabah lalu, Harun memenangi kerusi Bengkoka selepas memperolehi 2,485 undi, menewaskan 10 calon lainnya dengan majoriti 77 undi, termasuk Samuil yang mendapat 2,408 undi.

