Benita kongsi rezeki, sumbang kasut raya untuk anak yatim

15 Apr 2023 • 4:53 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Tatkala insan lain gembira dan sibuk membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran yang bakal menjelang, masih ada segelintir golongan berada dalam keadaan sayu memikirkan akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam serba kekurangan terutama anak yatim.

Namun bagi 50 penghuni Pertubuhan Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Puchong, yang terdiri anak yatim dan asnafm kesedihan itu sedikit terubat apabila apabila Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) tampil memberikan sepatu raya hasil sumbangan kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Bagi salah seorang penerima Assadiqah Muhd Mustafa,15, beliau amat gembira dan berterima kasih atas keprihatinan Benita kerana menyantuni mereka yang kurang bernasib baik supaya dapat sama-sama merasai kemeriahan Aidilfitri.

“Saya bersyukur kepada Allah dan Rasulullah kerana masih ramai yang prihatin dan tampil untuk membantu kami dan terima kasih saya ucapkan kepada pihak Bernama kerana telah mengukir senyuman di bibir kami dengan menghadiahkan kasut baharu,” katanya yang ditemui pada Program Sepatu Raya di kedai kasut Bata, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Roslan Ariffin dan Pengerusi Benita, Hazimah Samin.

Sementara itu, Hazimah berkata program Sepatu Raya itu merupakan program tahunan yang diadakan sejak 2012 dengan setiap tahun sebuah rumah anak yatim akan dipillih untuk menerima sumbangan berkenaan.

“Dalam setiap rezeki kita ada hak orang lain yang wajar kita kongsikan terutama kepada golongan yang memerlukan termasuk anak yatim dan orang miskin. Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu menceriakan sambutan hari raya mereka,” katanya. -Bernama