Benteng takungan pecah, air deras masuk kawasan rumah

LocalEnvironment
29 Dec 2024 • 7:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar sebuah video tular memaparkan kejadian banjir di Taman Seri Alam, Puncak Alam, Selangor selepas benteng takungan air pecah pada Ahad.

image is not available
Anggota bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian banjir di Taman Sri Alam, Puncak Alam, Selangor selepas benteng takungan air pecah pada Ahad. Foto:JBPM.

KUALA SELANGOR - Benteng takungan air pecah menyebabkan Taman Seri Alam di Saujana Utama di sini dilanda banjir pada Ahad.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 5.15 petang.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi bantuan diberikan oleh Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bestari Jaya.

"Kejadian banjir ini disebabkan benteng takungan air bersebelahan Taman Seri Alam telah pecah.

"Air telah melimpah ke keseluruhan taman dan paras air adalah sekitar satu kaki atau 0.3 meter," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kata beliau, kerja-kerja pemindahan mangsa yang terjejas sedang dijalankan bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama yang tiba jam 5.27 petang.

Menurutnya, lima anggota JBPM bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) terlibat dalam operasi tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati air masih bertakung dan belum lagi surut sehingga jam 6.30 petang.

Difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 4 petang, selepas hujan lebat turun jam 3.15 petang.

Menerusi video tular, limpahan air itu menyebabkan beberapa buah kenderaan ditenggelami air.

Sementara itu, seorang penduduk yang namanya enggan dikenali berkata, lebih 10 buah rumah terjejas dalam kejadian itu termasuk beberapa kenderaan yang tidak sempat dialihkan.

"Air laju masuk ke kawasan perumahan ini. Kami tidak sempat berbuat apa-apa," katanya.

Katanya, penduduk tidak menyangka berlaku insiden kolam takungan pecah dan menyebabkan mereka tidak sempat mengalihkan kenderaan ke tempat selamat.

"Kebanyakan penduduk juga tiada di rumah kerana masih cuti sekolah, malah kami juga tidak sempat berbuat apa-apa semasa kejadian berlaku.

"Ia merupakan kejadian kali kedua berlaku, setelah kali pertama terjadi sekitar lima atau enam tahun lalu," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved