
Kuala Lumpur: Tindakan seorang ahli perniagaan wanita yang didakwa terlepas pandang memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans sejak 2018 membawa padah apabila kenderaan mewah dipandunya disita dalam satu operasi khas, semalam.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Kuala Lumpur (JPJ), Hamidi Adam berkata, wanita berkenaan ditahan ketika memandu sebuah Bentley Continental dalam Ops Khas Luxury di Jalan Tun Razak.
Menurutnya, hasil semakan mendapati kenderaan itu adalah miliknya sendiri, namun melakukan beberapa kesalahan termasuk LKM tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL).
Alasan Terlepas Pandang Urusan Pembaharuan
Menurut laporan Harian Metro, semakan lanjut mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan mewah berkenaan telah lama tidak diperbaharui, sekali gus melanggar peraturan asas penggunaan jalan raya.
“Siasatan mendapati LKM dan insurans kenderaan mewah itu tidak diperbaharui sejak 2018.
“Wanita terbabit memberi alasan terlepas pandang kerana sebelum ini urusan pembaharuan dikendalikan ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan pelbagai pelanggaran itu, pihak JPJ bertindak menyita kenderaan terbabit untuk tindakan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Operasi khas berkenaan dilaksanakan bagi mengesan pemilik kenderaan mewah yang gagal mematuhi peraturan jalan raya, selain memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan. – The Malaysian Update
The post Bentley Dipandu Wanita Disita JPJ, Road Tax Dan Insurans Mati Sejak 2018 appeared first on The Malaysian Update.


