KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat dengan merosakkan pondok pengawal sebuah residensi di Bukit Jalil di sini pada 23 April lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di IPD Brickfields pada Ahad lalu.
"Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan bekas penyewa di residensi berkenaan dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan.
"Dalam kejadian itu, suspek didakwa memarahi pengawal keselamatan sebelum bertindak memukul palang pintu, memecahkan cermin hadapan pondok pengawal serta merosakkan kamera litar tertutup (CCTV)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Rosdi berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam insiden berkenaan.
"Suspek direman selama dua hari sehingga semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.





