INDONESIA – Seorang wanita berusia 23 tahun ditemui mati dalam rumah sewanya pada 12 Februari 2024, yang disyaki telah dibunuh oleh teman lelakinya berusia 25 tahun.
Menurut keterangan dari Ketua Polis Cikarang Barat, Komisioner Gurnald Patiran berkata, siasatan pihaknya mendapati pasangan berkenaan sering bertengkar.
Pada hari kejadian, mangsa dipercayai mendesak suspek segera berkahwin dengannya. Namun suspek mengakui dia belum mempunyai wang yang mencukupi untuk berbuat demikian.
Akhirnya pertengkaran pasangan itu berhujung dengan pembunuhan di mana suspek bertindak mencekik dan menekup muka mangsa dengan bantal.
“Punca kematian mangsa adalah kerana kesukaran bernafas akibat dicekik dan mukanya ditekap dengan bantal,” kata Gurnald
Susulan kejadian itu, polis telah menahan suspek yang bakal berdepan dengan tuduhan membunuh yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Terdahulu polis menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa, lalu bergegas ke lokasi. Mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira jam 2 pagi. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil tanpa sebarang kesan darah di lokasi.
Sementara itu, pemilik rumah sewa berkata, mangsa selalu tinggal bersama suspek walaupun belum berkahwin.
Tambah Gurnald, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dan menunggu keputusan hasil bedah siasat bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.
Sumber: Serambi News
The post Berang didesak kahwin cepat, lelaki bunuh teman wanita appeared first on The Reporter.


