
Padah menyebabkan kecederaan
Berang Dikutuk Dari Belakang, Wanita Didenda RM500 Gara-Gara Tampar Rakan. Seorang wanita diperintah berkelakuan baik selama enam bulan dan didenda RM500 kerana menampar pipi rakannya di sebuah kelab malam.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Chin Choon Lian, 37 tahun, setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.

Berdasarkan fakta kes, sekitar jam 3.30 pagi pada 13 Mei 2024, di sebuah kelab malam di Jalan Sekama, mangsa berusia 27 tahun dari Pulau Pinang sedang minum bersama seorang rakan sebelum didatangi Chin.
Chin kemudian secara tiba-tiba menampar pipi mangsa, menyebabkan mangsa membuat laporan polis.
Selepas kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak dan dilaporkan bahawa pipi kirinya bengkak akibat tamparan tersebut.
Siasatan mendapati bahawa Chin dan mangsa adalah kenalan, tetapi tidak rapat.
Mereka bertengkar kerana Chin tidak berpuas hati dengan mangsa yang dipercayai mengutuk Chin di belakangnya.
Kes ini didakwa oleh Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang, sementara Chin tidak diwakili peguam.

