Berang projek terbengkalai, isteri ahli perniagaan diculik

21 Sep 2023 • 7:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Berang projek terkandas di tengah jalan, isteri ahli perniagaan dari negara jiran diculik di Selangor baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, isteri ahli perniagaan warga asing itu diculik sekumpulan individu di suatu kawasan di Selangor.

Bagaimanapun kata beliau, menerusi kerjasama Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Pulau Pinang, mangsa berjaya diselamatkan minggu ini.

"Polis menerima laporan berhubung kejadian culik ahli keluarga kepada seorang ahli perniagaan warga asing.

"Siasatan mendapati warga asing itu terbabit satu urus niaga, namun ia terbengkalai di tengah jalan menyebabkan ahli keluarganya diculik," katanya pada sidang media pada Khamis.

Diminta mengulas lanjut berhubung kes tersebut, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya hanya dapat memberikan sedikit pendedahan awal berhubung kejayaan itu.

Jelas beliau, maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan diperincikan oleh Ketua Polis Pulau Pinang dalam satu sidang media pada Jumaat.

"Saya sepatutnya ke Pulau Pinang hari ini untuk sidang akhbar kejayaan menemukan semula wanita tersebut pada Jumaat.

"Namun kekangan tugas di Bukit Aman, saya tidak ke sana dan hari ini saya bagi sedikit pendedahan awal berhubung kes itu kepada pihak media," ujarnya.