
KUALA LUMPUR: Pas dipersoalkan sama ada parti itu berani untuk menarik balik fatwa yang pernah ‘mengkafirkan’ UMNO menerusi Amanat Haji Hadi pada 1981 sekiranya benar-benar ikhlas mahu menghidupkan perpaduan ummah.
Setiausaha Pemuda Amanah, Ahmad Shahir Mohd Shah berkata, beliau tidak rasa Pas akan tarik ataupun mereka akan menyebut tentang fatwa itu lagi.
“Tapi, saya lihat mereka akan konsisten menyebut tentang perjuangan agenda Melayu-Islam yang tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk merampas kuasa daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya hari ini.
Baru-baru ini, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub menggesa Pas untuk menarik balik fatwa yang pernah ‘mengkafirkan’ UMNO menerusi Amanat Haji Hadi pada 1981 sehingga menyinggung sebahagian besar jiwa orang UMNO.
Beliau malah berkata, pemimpin Pas sudah tidak boleh dipercayai kerana hanya menaburkan janji manis ketika berada dalam keadaan terdesak.
Dalam pada itu, Ahmad Shahir hairan apabila Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan Pas dan UMNO mempunyai persamaan dari sudut akidah dan kepentingan umat Islam perlu menjadi asas kepada usaha membina jambatan kerjasama serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan generasi muda.
Katanya, beliau tidak rasa ‘akidah’ antara Pas dan UMNO itu sama. Maksudnya, UMNO sendiri sudah mengakui akidah perjuangan mereka sama dengan Pas, namun sebenarnya pegangan mereka itu masih lagi dilihat berbeza.
Ini kerana katanya, kalau tengok kepada dasar-dasar mereka hanya menyebut tentang Islam tetapi Islam yang difahami atau yang dibawa oleh Pas itu berbeza seperti mana juga dengan UMNO.
“Kalau mereka kata akidah mereka sama, maka perjuangan Islam-Pas itu mesti sama dengan perjungan Islam-UMNO. Jadi sebenarnya itu adalah jurang yang sukar untuk mereka satukan.
“Yang mereka boleh satukan ialah misi mereka untuk mendapatkan tampuk kuasa dan kalau kata apakah mereka akan menarik balik fatwa, saya lihat dalam Muktamar kali ini tak nampak lagi ada ada usaha-usaha itu ataupun didesak oleh pewakilan.
“Cuma saya nampak mereka sekarang ini bercakap tentang kuasa. Kalaulah Pas menarik balik mungkin kesannya tidaklah begitu besar kerana sudah ada persetujuan yang mereka letak iaitu mereka mahukan kuasa yang terletak kepada kuasa Melayu, bukan lagi atas nama Islam,” katanya,
Sedangkan, kata beliau, sebagaimana yang kita tahu UMNO dengan perjuangan Melayunya dan Pas dilihat dengan perjuangan Islamnya, tetapi kedua-duanya ada agenda itu sendiri.
“Kedua-dua parti mahu mengekalkan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN. Itu sahaja matlamatnya, cuma kalau tanya saya apakah mereka adakah Pas menarik balik fatwa, saya tak nampak usaha itu akan dibuat,” katanya. – UTUSAN
The post Beranikah Pas tarik balik Amanat Hadi 1981 demi UMNO? – Tanya Amanah appeared first on Utusan Malaysia.






