

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menetapkan sasaran untuk membuka jualan tiket ECRL bermula November depan.
Pengumuman rasmi mengenai pembukaan kaunter jualan dan tarikh operasi penuh akan dibuat sebaik sahaja keputusan kadar tambang diluluskan oleh pihak kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, penetapan harga kini berada di peringkat akhir pertimbangan kabinet. Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan kadar tambang tersebut dalam masa terdekat bagi laluan utama termasuk perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu.
Dalam pada itu, MRL memberi jaminan bahawa kadar tambang ECRL Gombak ke Kota Bharu akan ditetapkan pada tahap yang munasabah. Aspek kemampuan rakyat menjadi keutamaan agar semua golongan dapat menikmati perkhidmatan moden ini.
Menurut pihak MRL, struktur harga yang dirangka mengambil kira keseimbangan antara kuasa beli orang ramai dan kos operasi infrastruktur berskala besar. Harga yang terlalu tinggi akan membebankan pengguna, manakala harga terlalu rendah pula dikhuatiri menjejaskan daya saing pengangkutan awam sedia ada.
Segmen Harga Premium dan Jadual Perjalanan ECRL
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECRL Operation Sdn Bhd, Zaidi Sharif, perkhidmatan ECRL dirancang berada dalam segmen harga antara tambang bas dan penerbangan, mengambil kira kedudukannya sebagai perkhidmatan ekspres premium.
Ini selari dengan statusnya sebagai pengangkutan ekspres premium yang menawarkan tahap ketepatan masa antara 95 hingga 99 peratus.
Bagi fasa permulaan operasi komersil ECRL, sebanyak enam perjalanan sehari ditawarkan dari Isnin hingga Khamis, manakala tujuh perjalanan disediakan pada hujung minggu. Jadual penuh perjalanan ECRL berserta harga tiket rasmi akan diumumkan serentak selepas mendapat lampu hijau daripada kerajaan.


