Beras, Barang Dapur Dibakar Adalah Stok Simpanan Yang Rosak - Ismail

19 Apr 2024 • 12:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Beras dan barang dapur yang dibakar di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur Gunung Senyum, Temerloh Pahang. gambar media sosial

KUALA LUMPUR - Bekas ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, pelupusan beras dan barang dapur di tempat pembuangan sampah berhampiran Jalan Pintasan Rumpun Makmur Gunung Senyum, Temerloh Pahang adalah stok simpanan lama yang sudah rosak.

Katanya, beras dan barangan dapur itu adalah stok simpanan yang disediakan bagi memenuhi permintaan orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Ismail yang menyandang jawatan itu selama empat penggal tewas kepada calon Perikatan Nasional, Kamal Ashaari dengan majoriti 1,024 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.

image is not available
Beras dan barang keperluan lain yang dibuang di tempat pelupusan sampah sebelum dibakar. gambar media sosial

"Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu pelupusan barang yang berlaku.

"Barangan dapur ini disediakan menggunakan peruntukan peribadi, sebelum tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 pada tahun 2022 dan umum mengetahui bahawa dalam tempoh berkempen, tiada sebarang pemberian barangan kepada orang awam dibenarkan.

"Pembelian barangan dapur ini tidak melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan atau peruntukan Kerajaan Negeri Pahang.

"la juga tidak melibatkan peruntukan barangan dalam tempoh COVID-19 atau persiapan pangkalan hadapan menghadapi banjir," katanya dalam satu kenyataan.

@getaranmy Tular kini beberapa video yang menunjukkan barangan keperluan termasuk beras dan tepung dilupuskan di sebuah kawasan pembuangan sampah berdekatan Kuala Krau, Pahang. Adakah ini semua barang yang telah 'expired'? Sehingga kini masih belum ada penjelasan dari mana-mana pihak yang berkaitan. #getaranmy #viral ♬ original sound - Getaran

Mengulas lanjut, Ismail berkata, pada 5 April lalu beliau menerima aduan daripada jiran berhubung bau busuk di stor simpanan barangan dapur berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati terdapat beberapa ekor bangkai tikus dan beras serta barangan dapur ini telah dicemari bubuk/kutu beras. 

"Barangan lain juga tidak lagi sesuai untuk diagihkan kepada orang ramai kerana tercemar.

"Namun, sebahagian daripada beras ini telah diserahkan kepada penternak ayam dan itik di kawasan sekitar, dan sebahagian lagi telah dilupuskan," katanya.

Terdahulu, tular video yang memaparkan beras, tepung dan beberapa lagi barang keperluan asas dibakar di tapak pelupusan sampah terbabit.

image is not available
Lokasi kawasan pembuangan sampah yang sudah dibersihkan. gambar media sosial

Susulan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam hantaran di X berkata, beliau sudah mengarahkan pihak  Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Temerloh, Pahang menjalankan siasatan segera berhubung insiden terbabit.

Dalam pada itu, tinjauan orang ramai di tapak pelupusan sampah berkenaan yang dikongsi di media sosial menunjukkan ia sudah dibersihkan dan dipercayai operasi pembersihan dilakukan pada waktu malam. - Getaran, 19 April 2024