
Berat Badan Naik Diam-Diam? Ini 8 Punca Utama Yang Selalu Kita Tak Sedar
Tanpa kita sedar, berat badan boleh meningkat sedikit demi sedikit walaupun kita rasa makan tidak banyak, tidak pernah tinggal senaman dan gaya hidup masih sama.
Ramai yang hanya menyedari perubahan itu apabila jarum penimbang mula berganjak atau pakaian terasa semakin ketat lalu tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
Namun tubuh manusia tidak berfungsi sesederhana itu. Ianya akan bertindak balas terhadap pelbagai faktor fisiologi, hormon dan corak kehidupan yang berubah tanpa kita sedari.
Kadangkala, perubahan kecil seperti kurang tidur, stres yang berpanjangan atau pilihan makanan yang kelihatan sihat tetapi sebenarnya tidak, boleh memberikan impak besar terhadap kadar metabolisme.
Dalam jangka masa panjang, keadaan ini turut mempengaruhi cara tubuh menyimpan lemak dan menggunakan tenaga. Apa yang lebih mengejutkan, punca sebenar kenaikan berat ini sering berpunca daripada tabiat kecil harian yang nampak tidak salah tetapi memberi kesan besar dalam jangka panjang.
Ia bukan sekadar soal berapa banyak kalori dimakan tetapi bagaimana tubuh memproses, menggunakan dan menyimpan tenaga tersebut.
Bahkan faktor seperti waktu makan, kualiti tidur, tahap hidrasi dan emosi juga memainkan peranan penting dalam menentukan berat badan seseorang.
Jadi, jika anda pernah tertanya-tanya kenapa berat badan naik tanpa sebab yang jelas, mungkin sudah tiba masanya untuk menilai semula rutin seharian anda.
1. Makan lebih kalori
Kebanyakan daripada kita sebenarnya mengambil lebih banyak kalori tanpa disedari. Walaupun hanya menambah sedikit lauk, menambah sesudu minyak atau mengambil snek ringan sambil menonton TV, semua itu menyumbang kepada lebihan tenaga yang akhirnya disimpan sebagai lemak.
Misalnya satu sudu besar minyak masak mengandungi kira-kira 120 kalori manakala secawan kopi ais dengan susu pekat boleh mencecah hampir 200 kalori.
Kalau dikira jumlah keseluruhannya dalam sehari, lebihan kalori ini boleh menjadi penyumbang utama kepada kenaikan berat walaupun anda rasa tak makan banyak pun.
Dalam jangka panjang, tabiat kecil seperti ini boleh membuatkan berat meningkat perlahan-lahan tanpa disedari.
2. Minuman bergula yang tersembunyi
Ramai juga yang beranggapan minuman tidak membawa banyak kesan terhadap berat badan. Tetapi realitinya, gula dalam bentuk cecair adalah antara penyebab utama peningkatan berat.
Teh ais, minuman tenaga, jus kotak dan bubble tea mungkin nampak tidak berbahaya namun setiap satunya boleh mengandungi 5 hingga 10 sudu teh gula.
Lebih membimbangkan, kalori daripada minuman tidak akan membuatkan anda kenyang. Jadi anda tetap akan makan seperti biasa.
Ini bermakna kalori tambahan akan terus disimpan sebagai lemak. Lama-kelamaan, minuman bergula yang diambil setiap hari boleh meningkatkan paras insulin, memperlahankan metabolisme dan menyebabkan berat sukar turun walaupun anda mula mengawal makanan.
3. Kurang tidur dan tidur tidak berkualiti
Selain itu, tidur yang tidak mencukupi bukan sahaja menyebabkan anda letih tetapi juga mengganggu keseimbangan hormon dalam badan.
Apabila kurang tidur, hormon ghrelin (yang merangsang selera makan) akan meningkat manakala hormon leptin (yang memberitahu otak bahawa anda sudah kenyang) pula menurun.
Hasilnya, anda akan rasa lapar walaupun baru lepas makan dan cenderung mencari makanan manis atau berlemak untuk mendapatkan tenaga segera.
Selain itu, apabila badan lesu akibat tidur yang tidak berkualiti, anda akan kurang aktif. Keadaan ini akan menjadikan kalori yang dibakar semakin sedikit.
Gabungan dua faktor ini iaitu makan lebih banyak dan kurang bergerak akhirnya akan menyebabkan berat badan naik perlahan-lahan tanpa anda sedari.
4. Terlalu banyak duduk
Di era moden ini, ramai yang menghabiskan masa berjam-jam di depan komputer atau telefon sama ada untuk bekerja, belajar atau sekadar menatap media sosial.
Walaupun kelihatan remeh, tabiat duduk terlalu lama sebenarnya memperlahankan metabolisme badan dan mengurangkan pembakaran kalori. Apabila anda jarang bergerak, otot menjadi kurang aktif dan kadar penggunaan tenaga menurun.
Tambahan pula, tabiat suka mengunyah makanan ringan semasa bekerja boleh menjadikan kalori harian bertambah tanpa disedari.
Untuk mengelakkannya, cuba biasakan diri untuk bangun setiap satu jam, berjalan seketika atau melakukan regangan ringan.
Pergerakan kecil ini mungkin nampak tidak penting tetapi dalam jangka masa panjang ia dapat membantu mengawal berat dan mengekalkan kesihatan badan.
5. Tekanan dan emosi yang tidak stabil
Apabila berdepan tekanan, tubuh menghasilkan hormon kortisol yang meningkatkan selera makan terutamanya terhadap makanan manis dan berlemak.
Inilah sebabnya kenapa ramai mencari makanan sebagai penenang apabila stres atau penat. Namun, tabiat ini lama-kelamaan membawa kepada pengambilan kalori berlebihan.
Lebih parah, tekanan kronik bukan sahaja membuatkan anda makan lebih banyak tetapi juga mengubah cara tubuh menyimpan lemak terutama di bahagian perut.
Untuk mengurangkan kesan ini, penting untuk mencari cara sihat mengurus emosi seperti bersenam, bermeditasi, mendengar muzik atau sekadar berjalan santai.
Ingat, kesihatan mental yang stabil memberi kesan langsung kepada kesihatan fizikal anda.
6. Kurang minum air kosong
Di samping itu juga, rasa lapar tidak semestinya tanda badan perlukan makanan. Kadang-kadang, ia hanyalah tanda dehidrasi.
Bila badan kekurangan air, otak boleh tersilap mentafsir isyarat tersebut sebagai rasa lapar. Ia akan menyebabkan anda makan lebih banyak daripada yang diperlukan.
Minum air kosong dengan cukup bukan sahaja membantu mengawal nafsu makan tetapi juga meningkatkan kadar metabolisme serta membantu proses detoksifikasi semula jadi tubuh.
Jika anda sering menggantikan air kosong dengan minuman manis atau berkafein, ia boleh menambah kalori tersembunyi dan menyebabkan pengekalan air dalam badan.
Mulakan dengan tabiat mudah. Bawa botol air sendiri dan pastikan anda minum sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas sehari.
7. Portion makanan yang besar
Satu lagi punca yang kerap berlaku tanpa disedari ialah saiz hidangan yang semakin besar dari hari ke hari. Kadang-kadang, kita tambah nasi sedikit, lauk bertambah dua kali atau menikmati pencuci mulut selepas makan utama dengan alasan sekali-sekala.
Namun tambahan kecil ini apabila dilakukan setiap hari boleh menyebabkan kalori berlebihan yang terkumpul dalam jangka panjang.
Untuk mengelakkannya, cuba guna pinggan yang lebih kecil atau sukat hidangan anda menggunakan tangan. Contohnya, saiz tapak tangan untuk protein, segenggam untuk karbohidrat dan dua genggam untuk sayur-sayuran.
Cara ini membantu anda lebih sedar tentang jumlah sebenar yang dimakan tanpa perlu berlapar.
8. Makanan proses low fat atau healthy snack
Label seperti low fat, sugar-free, atau healthy choice sering memberi tanggapan bahawa makanan itu lebih sihat. Tetapi tidak semestinya begitu.
Banyak produk sebegini sebenarnya melalui proses penambahan gula, garam atau bahan perasa bagi menggantikan lemak yang dibuang. Contohnya, yogurt rendah lemak mungkin mengandungi kandungan gula yang lebih tinggi untuk mengekalkan rasa.
Begitu juga dengan granola bar atau biskut diet yang dikatakan sihat, tetapi penuh dengan sirap glukosa dan karbohidrat halus.
Akibatnya, anda makan lebih banyak kerana beranggapan ia rendah kalori sedangkan jumlah tenaga yang diambil sebenarnya tetap tinggi.
Oleh itu, baca label pemakanan dengan teliti dan utamakan makanan segar berbanding produk yang terlalu diproses.
Kesimpulannya, berat badan tidak naik secara mendadak tetapi sedikit demi sedikit akibat tabiat kecil yang kita lakukan setiap hari.
Sama ada daripada apa yang kita makan, cara kita tidur atau bagaimana kita mengurus tekanan, semuanya memberi kesan terhadap keseimbangan tenaga dalam tubuh.
Untuk mengawalnya, langkah pertama ialah kesedaran. Anda perlu sedar tentang punca sebenar kenaikan berat dan mula melakukan perubahan kecil yang konsisten.
Ingat, penurunan berat yang sihat bukan tentang diet ketat atau berlapar tetapi tentang memahami tubuh sendiri dan memberi peluang untuk pulih dengan cara semula jadi.
Sumber : healthline, shape.com
The post Berat Badan Naik Diam-Diam? Ini 8 Punca Utama appeared first on Siakap Keli.



