Berat badan susut petanda hidap kanser paru-paru

Health & Fitness
18 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Berat badan susut petanda hidap kanser paru-paru

SEREMBAN – Daripada seorang lelaki yang sihat, aktif bekerja dan menyimpan impian menunaikan haji, kehidupan Sazaki Shahbudin, 62, kini berubah 100 peratus selepas disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat pada Julai lalu.

Enggan menyalahkan takdir, Sazaki memilih untuk menerima ketentuan Allah dan tidak mahu terus memikirkan soal penyakit yang dihidapinya.

“Terima apa yang ada. Saya cuba reda dengan ketentuan Allah. Pada awalnya memang hiba sebab sebelum ini saya tidak ada penyakit lain. Saya sihat dan masih bekerja sebagai pemandu,” katanya ketika ditemui di Taman Pinggiran Senawang semalam.

Menurutnya, perubahan kesihatan mula dirasai selepas berat badannya susut sebelum pemeriksaan lanjut membawa kepada syak wasangka kanser pada Julai lalu.

Beliau kemudian mendapatkan pemeriksaan di Hospital Mawar sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Sazaki berkata, keadaan kesihatannya kini menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti sakit, malah sering muntah selepas makan walaupun masih mampu mengambil pelbagai jenis makanan.

Katanya, dia dijadualkan menjalani rawatan susulan pada 26 Ogos ini, selain doktor mencadangkan rawatan menggunakan ubat.

“Doktor juga mahu mengambil sampel, tetapi prosedur itu dikatakan agak menyakitkan.

“Pada usia begini saya lebih berhati-hati. Saya juga tidak mahu menjalani kemoterapi kerana bimbang kesan sampi­ngan, terutama jika keadaan darah tidak kuat,” katanya.

Sazaki berkata, perkara pa­ling sukar bukan hanya berdepan penyakit, tetapi melihat rutin kehidupan keluarga turut berubah selepas dirinya jatuh sakit.

Bagaimanapun, sokongan isteri, Rosidah Musa, 57, serta empat anak yang berusia antara 21 hingga 28 tahun menjadi sumber kekuatan untuknya meneruskan kehidupan.

“Menjaga orang sakit memang mencabar. Isteri banyak membantu dan anak-anak pula sudah besar serta semuanya sudah be­kerja.

“Mereka banyak memberi sokongan dan saya bersyukur kerana tidak menghadapinya seorang diri,” katanya.

Jelasnya, dia bersyukur kerana keluarganya sangat memberi sokongan dalam keadaan dirinya yang berdamai dengan takdir.

The post Berat badan susut petanda hidap kanser paru-paru appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved