Berhabis RM4,000 naik bot, menyorok dalam hutan, akhirnya dicekup PGA

LocalPolitics
27 Apr 2026 • 3:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Berhabis RM4,000 naik bot, menyorok dalam hutan, akhirnya dicekup PGA
Seramai 10 PATI warga Myanmar dicekup ketika menyorok di dalam hutan berhampiran Kampung Tok Rusa, Meranti, Pasir Mas pada Ahad. Foto PGA
Image from: Berhabis RM4,000 naik bot, menyorok dalam hutan, akhirnya dicekup PGA
Kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 47 tahun yang dipercayai baru tiba di negara ini ditahan anggota PGA Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan. Foto PGA

PASIR MAS – Tindakan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menyusup masuk ke negara ini melalui laluan haram dengan menaiki bot dari Thailand terbongkar apabila mereka dicekup ketika menyorok di dalam hutan berhampiran Kampung Tok Rusa, Meranti di sini pada Ahad.

Kesemua lelaki berusia antara 21 hingga 47 tahun itu dipercayai baru tiba di negara ini sebelum dikesan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan kira-kira jam 7 malam.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan berhubung pergerakan mencurigakan di kawasan sempadan berkenaan.

Menurut beliau, ketika pemeriksaan dijalankan, kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki Malaysia.

"Hasil siasatan awal mendapati mereka disyaki memasuki negara ini dari Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan sebelum bersembunyi di kawasan hutan tersebut.

"Semua lelaki terbabit kemudian ditahan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

**media[3503675]**

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit membayar RM4,000 seorang kepada ejen bagi urusan membawa masuk ke Malaysia.

Ujarnya, mereka memaklumkan perjalanan dilakukan menggunakan bot dengan tekong membuat dua trip, setiap satu membawa lima penumpang.

"Kes tersebut telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara tanpa dokumen sah," katanya.

View Original Article