
Kota Kinabalu: Cara media cetak dan media sosial melaporkan kes bunuh diri serta kematian mengejut boleh secara tidak sengaja mencetuskan lebih banyak tragedi kata Presiden Majlis Kebangsaan Befrienders Malaysia Jessie Ting.
Beliau berkata setiap wartawan, editor, pencipta kandungan dan pengguna media sosial mempunyai peranan besar sama ada untuk mencegah kematian atau menyumbang kepada kejadian tersebut melalui cara pelaporan dan perkongsian maklumat.
“Setiap wartawan, editor, pencipta kandungan dan pengguna media sosial mempunyai kuasa untuk sama ada mencegah kematian atau menyumbang kepada tragedi melalui pilihan laporan dan perkongsian mereka,” katanya pada ceramah “Together Saving Lives” baru-baru ini.
Ceramah yang dianjurkan Majlis Kebangsaan Befrienders Malaysia dengan sokongan Kementerian Kesihatan, Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan itu merupakan sebahagian daripada siri di seluruh negara bagi memperkenalkan garis panduan pelaporan bunuh diri secara beretika.
Menurut Jessie media cetak dan media sosial sering menyiarkan gambar mangsa termasuk kad pengenalan, lokasi kejadian serta kaedah kematian secara terperinci, sedangkan kajian menunjukkan perkara tersebut boleh mencetuskan lebih banyak kes.
“Gambar mayat, senjata berlumuran darah, lokasi tepat dan kaedah yang digunakan. Pencipta kandungan dan juga organisasi berita sering melanggar garis panduan antarabangsa mengenai pelaporan bunuh diri,” katanya sambil merujuk kajian terhadap media di Malaysia dari Julai hingga November tahun lalu yang mendapati peningkatan laporan berunsur grafik.
Beliau berkata satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS One mendapati liputan media secara terperinci mengenai kematian pelakon terkenal Robin Williams pada Ogos 2014 menyebabkan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 9.85 peratus melebihi kadar jangkaan.
Katanya pelaporan tidak bertanggungjawab boleh mencetuskan tingkah laku meniru dan peningkatan kes bunuh diri, lebih-lebih lagi di Malaysia yang mempunyai kadar penembusan internet 97.7 peratus dan lebih 23 juta pengguna aktif Facebook iaitu kira-kira 64.4 peratus daripada populasi.
“Adakah kita mahu anak-anak melihat gambar grafik seperti ini di internet? Ia memberi trauma dan juga boleh mempengaruhi tingkah laku,” katanya.
Beliau turut merujuk satu kes kematian mengejut baru-baru ini yang dilaporkan secara terperinci termasuk maklumat kad pengenalan mangsa yang dikongsi di media sosial dan telah dikongsi sebanyak 731 kali dalam tempoh singkat. Sebagai sukarelawan talian bantuan Befrienders selama 15 tahun Jessie berkata beliau pernah menerima gambar seorang pelajar universiti yang berdiri di tepi bangunan tingkat 10 ketika bertugas mengendalikan panggilan krisis empat tahun lalu.
Pelajar tersebut menemui Befrienders melalui satu hantaran Facebook yang dibuat secara bertanggungjawab dan memaparkan bantuan sulit tanpa penghakiman.
“Empat tahun kemudian dia kini seorang doktor perubatan. Dia terselamat dan kini menjadi penyokong kepada orang lain,” katanya sambil menegaskan perbezaan antara kandungan media sosial yang menyelamatkan nyawa dan yang boleh membawa kepada tragedi.
Sehubungan itu beliau menggesa pengamal media, petugas kecemasan, pengguna media sosial dan orang ramai supaya menilai setiap kandungan berdasarkan garis panduan pelaporan beretika serta menggunakan fungsi laporan pada platform media sosial bagi menandakan kandungan berbahaya.
“Sebarkan kisah mereka yang berjaya pulih dan nombor talian bantuan bukan hanya tragedi.
”Pelaporan beretika bukan sekadar memberi maklumat tetapi mencegah mudarat dan menyelamatkan nyawa,” katanya.



