Berhati-hati meriwayatkan sejarah para sahabat nabi

Opinion
14 May 2026 • 2:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Berhati-hati meriwayatkan sejarah para sahabat nabi
Gambar kecil: Datuk Mohamad Din Yusoh

KESALAHAN dalam meriwayatkan kisah para sahabat Nabi SAW bukan sekadar isu kesilapan fakta, ia berpotensi membuka ruang kepada fitnah yang lebih besar terhadap Islam. Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman sebuah ceramah yang menggambarkan beberapa sahabat besar Rasulullah SAW dengan sifat-sifat keji sebelum mereka memeluk Islam.

Gambaran itu termasuklah tohmahan bahawa seorang sahabat yang paling mulia adalah seorang pemeras orang miskin, manakala sahabat agung yang lain dikaitkan dengan perbuatan zina dan kezaliman yang tidak senonoh.

Walaupun pihak yang terlibat kemudiannya tampil memberi penjelasan dan memohon maaf, peristiwa ini perlu dijadikan cermin dan pengajaran buat semua pihak, khususnya para pendakwah, pemimpin agama, dan sesiapa sahaja yang sering berkongsi maklumat tentang sirah Nabi SAW dan sejarah Islam di khalayak ramai.

Siapa sebenarnya para sahabat sebelum Islam?

Masyarakat perlu memahami bahawa sumber-sumber sirah muktabar Ahli Sunnah Wal Jamaah memaparkan gambaran yang amat berbeza daripada apa yang tular dalam ceramah berkenaan.

Dalam karya-karya muktabar seperti Sirah Ibnu Hisyam, Al-Bidayah wan Nihayah karya Ibnu Kathir, Abu Bakr as-Siddiq karya Muhammad Husain Haekal, serta Hayatus Sahabah karya Muhammad Yusuf al-Kandahlawi, tiada satu pun menyifatkan Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA sebagai individu yang memeras, menindas, atau terlibat dalam riba.

Sebaliknya, semua sumber itu mengakui bahawa beliau adalah seorang pedagang yang jujur, mulia, dan disegani. Adapun Saidina Umar al-Khattab RA, sejarah ada mencatatkan bahawa beliau adalah seorang yang tegas sebelum dan selepas memeluk agama Islam.

Ini adalah fakta yang diakui oleh kitab-kitab sirah, dan tiada yang menyembunyikannya. Namun terdapat perbezaan besar antara meriwayatkan fakta ini dengan cara yang adil dan berilmu berbanding meriwayatkannya secara sensasi, melampau, dan ditambah dengan tohmahan yang tidak bersumberkan mana-mana kitab muktabar.

Bahaya merujuk sumber yang tidak muktabar

Di sinilah letaknya bahaya yang lebih besar dan lebih serius iaitu kemungkinan bahawa sebahagian gambaran buruk terhadap para sahabat itu menyusup masuk ke dalam perbendaharaan ilmu kita bukan daripada kitab sirah Ahli Sunnah, tetapi daripada sumber-sumber Syiah.

Masyarakat Islam di Malaysia perlu sedar bahawa kitab-kitab Syiah termasuk karya-karya yang tersebar luas secara digital mahupun fizikal sering memuatkan gambaran yang amat negatif terhadap Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar al-Khattab RA. Ini bukan rahsia dalam dunia perbandingan mazhab.

Dalam akidah Syiah Imamiyyah, kedua-dua sahabat ini dianggap sebagai perampas hak kepimpinan daripada Saidina Ali RA, lalu mereka digambarkan dengan pelbagai tohmahan yang tidak pernah diakui oleh sumber-sumber Ahli Sunnah.

Antara dakwaan yang sering beredar dalam sumber-sumber Syiah ialah bahawa Saidina Abu Bakar RA terlibat dalam urus niaga yang tidak adil dan Saidina Umar RA pula adalah individu yang zalim dan ganas, serta pelbagai tuduhan lain yang bertujuan merendahkan kedudukan kedua-dua sahabat ini di mata umat Islam.

Ini adalah sebahagian daripada doktrin mereka yang telah lama diketahui dan dibantah oleh para ulama Ahli Sunnah seperti Ibnu Kathir dalam pelbagai karya beliau. Persoalannya, adakah kita sedar apabila kita meriwayatkan kisah-kisah ini bahawa sumbernya mungkin berasal daripada khazanah tersebut?

Dalam era media sosial hari ini, banyak maklumat tentang sejarah Islam tersebar dalam bentuk video pendek, infografik, dan hantaran tanpa disertakan sumber yang jelas. Seseorang yang menonton berpuluh-puluh video tentang sejarah Islam tidak semestinya tahu bahawa dua atau tiga daripadanya mungkin bersumber daripada pemikiran yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Malaysia adalah sebuah negara yang berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini bukan sekadar gelaran, ia adalah manhaj, kaedah, dan cara kita memahami agama, termasuk cara kita memahami sejarah Islam dan kedudukan para sahabat Nabi SAW.

Dalam akidah Ahli Sunnah, para sahabat Nabi SAW terutama al-Khulafa' ar-Rasyidun adalah insan-insan yang terpilih dan mendapat pengiktirafan daripada Nabi Muhammad SAW. Walaupun mereka pernah hidup dalam zaman jahiliah, Islam telah menyucikan mereka, dan mereka telah berjuang bersama Baginda SAW membangunkan tamadun Islam yang kita nikmati hingga hari ini.

Menyentuh kehidupan para sahabat pada zaman jahiliah hendaklah dilakukan dengan penuh adab dan berhati-hati. Para ilmuwan tidak wajar menghina atau merendahkan mereka walau apa pun niatnya, kerana perkara tersebut amat berbahaya.

Tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan kemuliaan para sahabat, malah boleh menimbulkan kekeliruan akidah dalam kalangan masyarakat, khususnya bagi mereka yang tidak mempunyai asas ilmu yang kukuh. Biarlah peristiwa ini menjadi peringatan bersama untuk kita semua agar menjaga lidah dan pena kita apabila berhadapan dengan hal-hal yang berkaitan dengan agama, khususnya apabila menyentuh tokoh-tokoh yang telah dijanjikan kemuliaan oleh Nabi Muhammad SAW.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: Maksudnya: "Janganlah kamu mencaci maki sahabat-sahabatku. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, seandainya salah seorang di antara kamu menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud, nescaya ia tidak akan menyamai satu mud atau setengah mud yang diinfakkan oleh salah seorang di antara mereka." Semoga ALLAH SWT memelihara akidah kita, melindungi ummah daripada fitnah, dan mengurniakan kita para pendakwah yang berilmu, beradab, dan bertanggungjawab.

Datuk Mohamad Din Yusoh ialah seorang pendakwah