
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim meluahkan pandangan peribadinya mengenai trend pemakaian, solekan dan penggunaan aksesori dalam kalangan lelaki yang dilihat semakin menyerupai wanita.
Menurut Sarimah, dia kurang senang apabila fesyen sedemikian semakin dinormalisasikan oleh masyarakat, bahkan ada yang melampaui fitrah semula jadi.
“Bolehkah kita berhenti menormalisasikan pemakaian, solekan atau aksesori lelaki yang membuatkan mereka kelihatan lebih feminin atau menyerupai wanita?
“Pada pandangan saya, lelaki sudah cukup sempurna dengan menjadi diri mereka sendiri, seadanya,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam hantaran tersebut, penyanyi lagu Kini Kau Tiada itu berpendapat penampilan yang sederhana dan semula jadi sudah memadai tanpa memerlukan sebarang elemen tambahan.
“Ini hanyalah pilihan peribadi saya. Kesederhanaan itu lebih baik dan sesuatu yang semula jadi adalah yang terbaik.
“Tidak perlu sebarang tambahan yang berlebihan. Ini sekadar pendapat saya,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan pelakon itu selain menganggap trend tersebut semakin melampaui batas dan bercanggah dengan agama.
“Lelaki seharusnya kekal sebagai lelaki, begitu juga wanita seharusnya kekal sebagai wanita. Janganlah kita menormalisasikan atau menyokong perkara yang bertentangan dengan fitrah ini,” komen netizen.
“Ya, bukan sahaja perlu dinormalisasikan, malah wajib dilaksanakan. Ada beberapa sebab mengapa saya berpandangan sedemikian. Islam sendiri melarang lelaki menyerupai wanita,” kata seorang lagi netizen.
The post Berhenti normalisasikan pemakaian, solekan lelaki kelihatan feminin atau menyerupai wanita’ appeared first on Utusan Malaysia.

![[VIDEO] Cemas nampak lelaki pegang pistol di Bukit Tunku](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/9d78e690-dac7-4098-9ac9-0cd98ca2b171-1024x538.jpeg)