
KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana dikatakan mengutamakan insiden penderaan lisan oleh pegawai kanan kerajaan didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berbanding mengambil tindakan segera dan tanpa kompromi terhadap mereka yang terbabit dalam skandal Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, Ismail setakat ini gagal membuat sebarang komen atau mengambil tindakan terhadap skandal LCS sejak Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh menerbitkan penemuan pihaknya pada minggu lepas.
“Jika jawatankuasa peringkat tinggi sebegini boleh dibentuk berhubung dakwaan insiden penderaan lisan di KLIA, mengapa jawatankuasa peringkat tinggi yang serupa tidak dibentuk untuk bertindak dan menghukum mereka yang bertanggungjawab terhadap skandal RM9 bilion LCS?
“DAP tidak ada bantahan jika kerajaan menganggap jawatankuasa peringkat tinggi itu perlu untuk menyiasat dakwaan insiden penderaan lisan tersebut, tetapi perhatian dan kepentingan sama harus diberikan kepada skandal LCS apabila RM6 bilion sudah dibayar tanpa mendapat satu kapal pun,” katanya menerusi kenyataan.
Guan Eng menambah, Ismail perlu menyedari bahawa dakwaan berhubung RM6 bilion sudah dibayar dan mungkin hilang tanpa satu kapal pun disiapkan adalah perkara kepentingan awam yang menuntut akauntabiliti serta ketelusan penuh.
“Laporan PAC mendedahkan salah guna kuasa, penipuan dan malah penyelewengan dana. RM6 bilion dana awam adalah jumlah wang sangat besar dan pastinya patut sama dipandang berat jika tidak lebih berat lagi, berbanding insiden penderaan lisan didakwa berlaku,” katanya.
Guan Eng memberitahu, orang ramai mahu tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab memandangkan semua siasatan sudah diselesaikan PAC.
Namun begitu, tambahnya, penemuan PAC seperti tidak layak untuk pembentukan jawatankuasa peringkat tinggi yang sama, seperti insiden penderaan lisan didakwa berlaku.
“Sikap berdiam diri dan berpeluk tubuh Ismail terhadap skandal RM9 bilion LCS adalah gambaran menyedihkan mengenai kekurangan pertimbangan bijaksana untuk membezakan antara apa yang betul dan salah serta perkara perlu diutamakan bagi mentadbir negara dengan baik,” katanya.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh baru-baru ini dilaporkan berkata, kontrak projek LCS diberikan kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) secara rundingan terus.
Katanya, kajian daya maju dilakukan kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS, gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.
Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat bayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS yang bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007, berkuat kuasa ketika itu.
PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item, bukan berdasarkan kemajuan sebenar. - Getaran, 8 Ogos 2022

