Beri ruang jawatankuasa khas siasat isu Azam Baki: PM

LocalPolitics
13 Feb 2026 • 4:24 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan terhadap dakwaan serta perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan dijalankan secara telus dan terbuka tanpa melindungi mana-mana individu.

Menurut Perdana Menteri, jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Negara perlu diberikan ruang untuk menyiasat dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.

“Sekarang biar dikaji dulu, kes kena tahu dulu, apakah serius, apakah ada asas, baru kita (ambil tindakan). Jangan oleh kerana kita menjadi mangsa ataupun tertekan, terus nak guna peluang ini nak tekan. Tak boleh jadi, biar ia diteliti dahulu,” katanya, lapor Bernama.

Anwar berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat bersama warga Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini
.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Azam wajar direhatkan daripada jawatan berkenaan.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bagi menyiasat dakwaan serta perkara berbangkit dikaitkan dengan Azam Baki.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzli berkata perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Setelah selesai siasatan, maka akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Ini dalam usaha untuk kita memastikan aspek ketelusan dan integriti dalam menjalankan siasatan,” kata Fahmi.

Sementara itu, Anwar menasihatkan warga SPRM supaya terus bersemangat menjalankan tugas dengan tegas, berani bagi membanteras gejala rasuah.

“Saya tidak mahu ini mengganggu peranan SPRM keseluruhannya kerana ada usaha untuk mengekang, terutama apabila mereka lebih tegas dan keras mengambil tindakan terhadap rasuah. Ada pihak berkepentingan cuba melindungi perasuah-perasuah ini,” katanya.

Pada 10 Februari lalu, Bloomberg melaporkan bahawa Azam disenaraikan sebagai memegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Bhd, dengan merujuk kepada pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berdasarkan harga saham syarikat pada penutupan dagangan hari Isnin, pegangan tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini, menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur. - 13 Februari, 2026

The post Beri ruang jawatankuasa khas siasat isu Azam Baki: PM appeared first on Scoop.