
BUKIT MERTAJAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta tempoh kepada rakyat untuk kerajaan membuktikan tatakelola yang baik selain menghentikan amalan rasuah dalam pentadbiran negara.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperbetulkan banyak kecurangan, menggunakan kuasa untuk merompak hasil negara serta amalan rasuah yang membelenggu pentadbiran negara.
Anwar berkata, kerajaan perlu memperbetulkan amalan rasuah atau kleptokrat yang mana amalan itu bukan hanya melibatkan individu tertentu sebaliknya membabitkan satu sistem.
"Beri tempoh beberapa tahun kepada kerajaan untuk membuktikan satu pentadbiran dan tatakelola yang baik dan bersih selain menghapuskan amalan rasuah yang telah membelenggu negara selama ini.
"Saya akui, ia bukan mudah untuk melakukan semua ini.
"Ini kerana, amalan rasuah ini sudah lama menjalar dalam pentadbiran negara di semua peringkat," katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang di Dewan Besar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

