Berjauhan dengan keluarga demi keputusan cemerlang

LocalFamily & Parenting
24 Jun 2025 • 5:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sira (tengah) bersama gurunya, Dr Noor Sarah Abu Kassim (kiri) dan Wan Azrina Wan Nawang ketika hadir mengambil keputusan STPM di SMK Toh Muda Abdul Aziz, Sungai Siput pada Selasa.

IPOH - Menjulang gelaran calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 terbaik dalam kalangan pelajar Orang Asli di Perak merupakan satu pencapaian membanggakan buat seorang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Muda Abdul Aziz, Sungai Siput.

Sira Suhairi, 20, mengakui keputusan cemerlang diperoleh dalam peperiksaan berkenaan sesuatu yang amat menggembirakan dirinya.

Menurutnya, keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.09 yang diperoleh itu juga merupakan satu kejutan.

"Siapa yang tak gembira bila dapat keputusan cemerlang? Saya sendiri pun tak percaya boleh capai keputusan macam ini.

"Ini kerana semasa peperiksaan percubaan dulu, PNGK saya tak sampai pun 3.0," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sira berkata, kejayaan itu turut dibantu kesungguhannya belajar di asrama yang terletak kira-kira 66 kilometer dari rumahnya selain komitmen tinggi terhadap kelas tambahan yang diadakan pihak sekolah.

"Tinggal di asrama beri kelebihan untuk saya fokus belajar. Setiap hari memang penuh dengan masa belajar, tak kira dalam kelas mahupun ulang kaji sendiri.

“Kejayaan ini bukan usaha saya seorang. Saya sangat bersyukur atas sokongan keluarga, guru-guru dan kawan-kawan yang banyak membantu sepanjang perjalanan ini,” ujar anak ketiga daripada lapan orang adik-beradik itu.

Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Sira memberitahu beliau kini menyasarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi merealisasikan impian menjadi seorang pendidik.

Terdahulu Jabatan Pendidikan Negeri Perak mengumumkan Sira merupakan calon terbaik antara 13 orang lagi calon Orang Asli yang memperoleh PNGK melebihi 3.0.