
KUALA LUMPUR 12 Dis – Berjaya Air Sdn Bhd memperkenalkan ATR 72-600 pertama di dunia yang dilengkapi kabin Highline Kelas Perniagaan 26 tempat duduk, direka khas untuk menawarkan pengalaman penerbangan premium dalam konsep ‘kemewahan mampu milik’.
Pesawat yang dipertontonkan pada Pelancaran Rasmi Rangkaian Destinasi Baharu Berjaya Air dan Pengenalan Pesawat Baharu di Berjaya Times Square Kuala Lumpur hari ini menandakan lonjakan strategik syarikat itu dalam memperkukuh capaian serantau, termasuk laluan terpilih ke Indonesia, Vietnam dan Thailand, selain destinasi domestik terpilih.
Menurut Berjaya Air, konfigurasi baharu ini menampilkan suasana kabin yang lebih tenang dan eksklusif, dengan tempat duduk direka berlekuk untuk keselesaan maksimum, ruang kaki lebih luas dan suasana dalaman ala jet peribadi sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi perjalanan jarak dekat.
Acara berkenaan turut disertai Berjaya Hospitality Group, yang memperkenalkan pakej istimewa ‘stay-and-fly’, promosi penginapan eksklusif dan keistimewaan gaya hidup sebagai nilai tambah kepada rangkaian pelancongan kumpulan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land Berhad, Syed Ali Shahul Hameed berkata pengenalan pesawat ATR berkonfigurasi Highline itu merupakan detik penting bukan sahaja kepada Berjaya Air, tetapi kepada keseluruhan Kumpulan Berjaya.
“Pengenalan ATR 72-600 Business Class Highline pertama di dunia ini adalah detik yang mendefinisikan semula perjalanan serantau. Inovasi ini mencerminkan komitmen syarikat untuk meningkatkan landskap perjalanan dengan produk yang menggabungkan kemewahan, keselesaan dan aksesibiliti,” katanya.
“Ketika syarikat memperluaskan penawaran penerbangan dan hospitaliti di rantau ini, fokus kami kekal untuk memberikan nilai terbaik serta pengalaman lancar yang mengukuhkan kedudukan Berjaya sebagai kumpulan gaya hidup dan pelancongan terkemuka,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Berjaya Air Sdn Bhd, Mohd Amri Mohd Akib berkata pelancaran laluan baharu dan pesawat ATR 72-600 dengan kabin Highline itu memperkukuh usaha syarikat untuk mentakrif semula standard perjalanan jarak dekat.
“Pelancaran pesawat ATR 72-600 pertama di dunia dengan Kabin Highline Kelas Perniagaan 26 tempat duduk yang direka khas ini merupakan pencapaian penting bagi Berjaya Air dalam memenuhi visi syarikat untuk menawarkan ‘kemewahan mampu milik’ kepada setiap penumpang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran itu di sini hari ini.“
Konfigurasi ini dibangunkan dengan teliti bagi menyediakan pengalaman penerbangan yang lebih selesa, elegan dan bernilai tinggi,” katanya.
Mohd Amri berkata, rangkaian destinasi baharu yang menghubungkan bandar-bandar terpilih di Indonesia, Vietnam dan Thailand akan membuka fasa baharu pertumbuhan Berjaya Air.
“Pengenalan pesawat baharu dan peluasan rangkaian serantau ini mencerminkan komitmen syarikati untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih berfokus kepada keselesaan, rekaan terperinci dan nilai yang mampu diakses lebih ramai pelanggan,” menurutnya.
Penganjuran hari ini turut diserikan dengan demonstrasi hiburan gaya hidup, promosi perjalanan eksklusif serta kolaborasi bersama jenama hospitaliti kumpulan tersebut, menggambarkan kesungguhan Berjaya Air untuk memperluas pengalaman perjalanan premium kepada pasaran serantau. - DagangNews.com


