johardy25/11/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Berjaya Food Berhad akan menyerahkan kawalan operasi rangkaian restoran Kenny Rogers Roasters di Malaysia yang mencatat kerugian kepada sebuah syarikat usaha sama yang diterajui dua firma pelaburan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Berjaya Food memaklumkan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu akan mengekalkan pegangan 5% dalam syarikat usaha sama berkenaan melalui anak syarikat milik penuhnya, Berjaya Roasters (M) Sdn Bhd.
Samaya Food Investments LLC dan Vertix Holdings LLC masing-masing akan memegang 46.5%, manakala baki 2% akan dipegang oleh Nabil Shaukat Butt, ketua pegawai kewangan kumpulan Samaya yang juga ahli lembaga pengarah Vertix.
Berjaya Roasters, yang menjadi anak syarikat milik penuh Berjaya Food sejak Januari 2011, memeterai perjanjian usaha sama dan pemegang saham dengan ketiga-tiga rakan kongsi itu pada Isnin.
Syarikat usaha sama akan mengambil alih sepenuhnya operasi restoran di Malaysia, manakala Berjaya Roasters akan terus menyediakan khidmat sokongan di bawah perjanjian perkhidmatan bersama.
Berjaya Food menjangka mencatat keuntungan pelupusan sebanyak RM4.51 juta, terutamanya hasil penamatan obligasi pajakan berkaitan perniagaan restoran itu.
Usaha sama itu akan menerima sumbangan modal berjumlah RM8.64 juta. Berjaya Roasters akan menyumbang aset operasi bernilai RM432,000, termasuk perabot, kelengkapan dan peralatan, sebagai balasan bagi pegangannya. Samaya dan Vertix masing-masing akan menyumbang kira-kira RM4 juta, manakala Nabil akan menyuntik RM172,000.
Bilangan restoran KRR di Malaysia susut separuh
Bilangan restoran Kenny Rogers Roasters di Malaysia, termasuk yang dikendalikan oleh pemegang subfrancais, susut separuh kepada 24 setakat 30 Jun 2026 daripada 48 setahun sebelumnya, menurut laporan tahunan Berjaya Food.
Samaya, anak syarikat milik penuh Samaya Holding LLC, ialah pemegang francais induk dan pengendali Kenny Rogers Roasters di UAE. Pelaburannya merangkumi sektor makanan dan minuman, hartanah serta instrumen kewangan. Vertix pula mempunyai kepentingan dalam hartanah, pengurusan hartanah, kenderaan mewah serta makanan dan minuman.
Berjaya Food berkata penstrukturan semula itu akan mengurangkan komitmen kewangan dan operasinya, sekali gus membolehkan kumpulan itu menyalurkan sumber kepada perniagaan makanan dan minuman lain.
Cadangan itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia, menurut syarikat itu.
Berjaya Food, yang turut mengendalikan rangkaian Starbucks di Malaysia, masih bergelut untuk kembali mencatat keuntungan susulan boikot pengguna yang dikaitkan dengan serangan tentera Israel di Gaza.
Kumpulan itu mencatat kerugian selama 11 suku berturut-turut setakat akhir Jun. Bagaimanapun, kerugian bersih bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026) mengecil kepada RM105.7 juta daripada RM287 juta setahun sebelumnya, menurut keputusan kewangan yang diumumkan pada Ogos 2026. — DagangNews.com


