Berjaya Group dapat penangguhan tuntutan cukai RM428.04 juta LHDN sehingga selesai semakan kehakiman

LocalBusiness & Finance
30 Jul 2026 • 3:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Berjaya Group dapat penangguhan tuntutan cukai RM428.04 juta LHDN sehingga selesai semakan kehakiman Image from: Berjaya Group dapat penangguhan tuntutan cukai RM428.04 juta LHDN sehingga selesai semakan kehakiman hamden30/07/2026 - 15:10

KUALA LUMPUR 30 Julai - Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan oleh Berjaya Group Bhd terhadap taksiran tambahan cukai berjumlah RM428.04 juta yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2018 hingga 2023, sementara menunggu keputusan semakan kehakiman yang difailkan syarikat itu.

 

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, yang membenarkan permohonan penangguhan tersebut dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom pada Khamis.

 

Mahkamah turut memerintahkan supaya penangguhan itu meliputi sebarang taksiran tambahan lain yang mungkin dikenakan terhadap syarikat sehingga prosiding semakan kehakiman diputuskan sepenuhnya.

 

"Adalah dengan ini diperintahkan bahawa permohonan penangguhan dalam Enklosur 28 dibenarkan sehingga pelupusan penuh dan muktamad prosiding semakan kehakiman ini dengan kos mengikut kausa," kata hakim berkenaan lapor The Edge.

 

Berjaya Group, anak syarikat milik penuh Berjaya Corp Bhd, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 19 Ogos 2025 dengan menamakan Ketua Pengarah LHDN sebagai responden tunggal.

 

Melalui permohonan itu, syarikat memohon perintah certiorari bagi membatalkan notis taksiran tambahan yang dikeluarkan LHDN bertarikh 30 Julai 2025 bagi tahun taksiran 2018 hingga 2023.

 

Berjaya Group berhujah bahawa taksiran tambahan berjumlah RM428.04 juta itu adalah ultra vires atau melangkaui bidang kuasa di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP), selain terbatal, menyalahi undang-undang, dibuat melebihi kuasa, tidak rasional serta melanggar jangkaan sah syarikat.

 

Syarikat itu juga memohon pengisytiharan bahawa Seksyen 140A ACP, apabila dibaca bersama Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Harga Pindahan) 2012 dan 2023, Garis Panduan Harga Pindahan LHDN 2017 serta Garis Panduan Harga Pindahan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), membenarkan perubahan kadar faedah dalam urusan pembiayaan antara syarikat dalam kumpulan.

 

Selain itu, Berjaya Group mendakwa LHDN telah tersalah tafsir dan mengguna pakai Seksyen 140A(2) dan 140A(3) ACP ketika membuat pelarasan harga pindahan kerana gagal membuktikan terdapat sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa perubahan kadar faedah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

 

Syarikat itu turut memohon beberapa pengisytiharan lain, termasuk bahawa LHDN tersilap mengecualikan pinjaman tanpa faedah daripada Berjaya Corp dalam pengiraan kos dana, selain mendakwa pendahuluan yang diberikan tidak boleh diklasifikasikan sebagai bantuan kewangan di bawah Kaedah Harga Pindahan 2012 dan 2023.

 

Berjaya Group juga berhujah bahawa LHDN gagal mengaplikasikan ujian economic substance sebagaimana digariskan dalam panduan OECD dan LHDN, selain gagal memenuhi prasyarat statutori di bawah Seksyen 140A(3) ACP sebelum membuat pelarasan harga pindahan serta mengenakan surcaj di bawah Seksyen 140A(3C) ACP.

 

Kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman telah diberikan Mahkamah Tinggi pada 26 Mei 2026.

 

Berjaya Group diwakili oleh Datuk S. Saravana Kumar dan Tan Jia Hua daripada firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership, manakala LHDN diwakili Peguam Hasil Kanan Marina Ibrahim dan Nur Farzana Mohammad Puat.

 

Pengurusan kes ditetapkan pada 8 September 2026 bagi menetapkan tarikh pendengaran penuh semakan kehakiman berkenaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved