Berjaya Raih Sijil Halal, Gigi Coffee Komited Pertingkat Kualiti Produk

LocalFood
23 Oct 2024 • 12:18 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Jenama kopi tempatan yang disukai oleh rakyat Malaysia, Gigi Coffee kini mengumumkan telah berjaya memperoleh sijil halal untuk beberapa cawangan mereka baru-baru ini.

image is not available

Foto: Berita Harian

Menurut laporan Berita Harian, syarikat tersebut kini giat berusaha mendapatkan pensijilan halal untuk cawangan-cawangan lain supaya komitmennya lebih kukuh terhadap kualiti produk untuk semua pelanggan terus terjamin.

Sijil halal yang diperoleh membuktikan dedikasi dalam memastikan produk yang mereka tawarkan memenuhi piawaian halal, memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan mengenai keselamatan dan keaslian produk.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Gigi Coffee, Ts. Au Soon Yong meluahkan rasa gembira terhadap pencapaian tersebut dalam satu kenyataan.

“Kami berasa amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah menerima pensijilan halal secara rasmi,” katanya.

image is not available

Foto: Berita Harian

Menurut Soon Yong, syarikat akan terus komited mengekalkan standard tertinggi di setiap cawangan, bagi memastikan Gigi Coffee menyediakan produk dan perkhidmatan yang dijamin halal.

Usaha Gigi Coffee mendapatkan sijil halal tepat pada waktu pertumbuhan pesat jenama tersebut yang dikenali sebagai salah satu rangkaian kopi paling popular di Malaysia.

Jenama ini melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi keutamaan kepada pelanggan, termasuk Program Kesetiaan, keistimewaan dan tawaran eksklusif, pas langganan kopi, serta kemudahan pesanan dalam talian melalui aplikasi mudah alih Gigi Coffee.

Inovasi-inovasi ini, bersama dengan tumpuan Gigi Coffee pada kelestarian dan penglibatan komuniti, mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama yang dipercayai dalam pasaran kopi yang kompetitif di Malaysia.

Selain daripada perolehan sijil halal, syarikat itu juga berjaya mendapat pengiktirafan rasmi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia bagi program latihan barista.

Sumber: Berita Harian (Nurshafika Suhaimi)